December 28th, 2015

Gosip paling hangat di BeautifulNara dikira dari entri-entri yang mendapat komen terbanyak. Untuk tahun 2015, 14 gosip paling hangat di BeautifulNara ialah entri-entri di bawah, mengikut turutan.

1. Sehelai Spender Aku Pun Kau Tak Pernah Beli – Rita Rudaini (405)

Sudah beberapa tahun kisah Rita Rudaini dan Aidil Zafuan menjadi bualan hangat di Internet. Kemuncak pada kontroversi ini ialah apabila melalui Instagram, Rita Rudaini mendedahkan bahawa semasa menjadi suami, Aidil Zafuan tidak pernah membelikan seluar dalam untuknya. Ia ialah kenyataan balas Rita pada pertanyaan Aidil sama ada Rita membuat tuntutan mut’ah kerana maruah mahupun wang di Instagram.

Kenyataan Rita ini mendapat pelbagai reaksi bercampur baur dari Netizen. Ada yang menganggap Aidil seorang yang teruk dan ada juga yang menganggap kenyataan Rita Rudaini hanya mengaibkan diri sendiri.

Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua belah pihak mendapat liputan meluas media cetak, elektronik dan media baru sekaligus menjadikan ia kisah paling hangat untuk tahun 2015.

Lagi 14 gosip dengan membaca entri ini sepenuhnya.

JKKN mengucapkan Salam Maulidur Rasul kepada semua muslimin dan muslimat. Selawat dan salam buat nabi junjungan kita,…

Posted by Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara on Tuesday, 22 December 2015

2. Wardina Saffiyah Tidak Mahu Salib Di Taman Medan Diturunkan (315)

Wardina sememangnya diketahui sering membuat kenyataan peribadi mengenai isu-isu semasa. Entri kedua paling hangat di BeautifuNara ialah mengenai komen Wardina mengenai  50 penduduk Taman Medan di Petaling Jaya telah berhimpun di hadapan satu bangunan lot kedai, lokasi satu gereja baru di Taman Medan, Petaling Jaya untuk menuntut agar tanda salib besar di premis itu diturunkan.

Bantahan yang berlangsung di Taman Medan itu dianjurkan atas alasan tanda salib itu mencabar akidah dan kepercayaan majoriti penduduk kawasan itu yang beragama Islam. Pihak gereja bersetuju menurunkan lambang salib gergasi yang dipasang pada tingkap gereja yang terletak di tingkat dua sebuah bangunan rumah kedai itu selepas bantahan dibuat.

Namun begitu, Wardina yang kini menetap di Australia kerana menyambung pengajiannya mengikuti perkembangan isu itu dan menyuarakan pendapatnya bahawa salib itu tidak perlu diturunkan dan menganggap perbuatan pemprotes adalah seperti membuli penganut agama Kristian di situ.

Kenyataan Wardina mendapat sokongan sebilangan besar pengguna Internet, bagaimanapun ia tidak dipersetujui oleh penduduk Taman Medan yang berpendapat Wardina sebagai orang luar tidak memahami masalah sebenar orang Islam di Taman Medan jadi tidak seharusnya memberi sebarang komen mengenai perkara itu.

3. Surat Terbuka Kepada Yasmin Hani Daripada Seorang Guru (315)

Pelakon dan pengacara Yasmin Hani telah membuat satu kenyataan mengenai perbuatan merotan pelajar yang dianggapnya tidak lagi relevan untuk diamalkan.

Kenyataan Yasmin  bagaimanapun menimbulkan rasa kurang senang banyak pihak, terutamanya para guru. Bagi mereka, Yasmin Hani tidak mengetahui realiti sebenar proses pengajaran di sekolah. Ramai yang mencadangkan Yasmin menghabiskan masa selama seminggu dua sebagai seorang guru dan selepas itu mengeluarkan pendapatnya sekali lagi.

Kenyataan Yasmin Hani juga mendorong seorang guru menghantar stau surat terbuka pada kami, menghentam corak pemakaian Yasmin. Kata guru itu:

Sebelum menegur urusan kami, alangkah lebih baik anda mengurus diri anda dulu yang tidak cukup kain berpakaian, yang mungkin menjejaskan akhlak anak anda sendiri. sesungguhnya seorang murid yang baik itu adalah hasil didikan ibu dan bapa mereka. dan apa saja perbuatan dan sifat mereka di sekolah, adalah kerana apa yang mereka lalui di rumah.

Yasmin bagaimanapun tidak memberi reaksi mengenai saranan guru itu terhadapnya.

4. Luahan Hati Seorang Penonton Drama Hello Mr Perfect (272)

Drama terbitan A. Aida Production, Hello Mr. Perfect lakonan Fattah Amin dengan pendatang baru, Nur Ruhainies menerima kecaman paling hebat tahun ini kerana lakonan kayu, jalan cerita yang membosankan serta tidak berfaedah dan runut bunyi yang ‘annoying’.

Ribuan penonton memberi pendapat ia ialah drama Akasia paling teruk dan menyatakan yang mereka tidak sabar menunggu ia habis ditayangkan kerana mereka ingin menonton drama yang lebih bagus.

A. Aida yang kini bergelar Datuk menyatakan dia tidak kisah dengan komen-komen negatif mengenai drama terbitannya asalkan ia meletup. Kenyataan A. Aida turut mendapat kecaman Netizen yang mendakwa drama itu hanya ‘meletup dengan kutukan’.

5. Kenyataan Balas Azwan Ali Berhubung Isu Maki Hamun Pengikutnya Kerana Me’nate(267)

Hanya kerana salah faham mengenai perkataan Me’nate, Azwan Ali telah memaki hamun seorang peminatnya di Twitter.

Kisah pelik tetapi benar ini berlaku pada bulan Ramadan, apabila Azwan, yang dikenali dengan nama ‘Diva AA’ di kalangan peminatnya bertanya pada pengikut media sosial restoran mana untuk menikmati stik yang lazat. Salah seorang peminatnya menjawab ‘menate’, merujuk kepada Me’nate, satu restoran yang menghidangkan stik daging lembu Wagyu.

Azwan bagaimanapun menyangkakan peminat itu mengutuknya dengan memanggilnya ‘binatang’ dalam loghat Kelantan. Azwan seterusnya memaki hamun peminat itu.

Azwan seterusnya diserang Netizen di Twitter sehingga mengambil keputusan untuk menutup akaun Twitter dan kini hanya aktif di Instagram. Peminat itu pula telah dibelanja untuk makan stik bernilai ribuan ringgit oleh pemilik restoran Me’nate bersama keluarganya kerana dimaki hamun Azwan Ali.

6. Kerana Salah Faham “KimK”, Nur Fazura Malukan Peminat (249)

Kejadian ini lebih kurang sama dengan kejadian ‘Me’nate’ di atas, apabila pelakon Fazura telah ‘menyerang’ seorang wanita di Instagram kerana menyangkakan wanita itu mengibaratkan seorang rakannya sebagai ‘kim*k’.

Bagaimanapun, Netizen memberi reaksi agak ekstrem mengenai perkara itu kerana wanita itu sebenarnya memuji rakan Fazura dengan mengibaratkannya seperti “Kim K” (yang merupakan kependekan untuk selebriti televisyen realiti, Kim Kardashian).

Sehubungan itu Netizen mendesak Fazura memohon maaf dari peminat tersebut kerana cuba memalukan wanita itu dengan memuat naik gambarnya di Instagram serta mengaitkan dengan cara pemakaian wanita itu yang bertudung serta statusnya sebagai seorang ibu. Fazura bagaimanapun enggan meminta maaf sebaliknya menuntut peminat itu pula meminta maaf.

Disebabkan perkara ini, Fazura dikecam oleh majoriti pengguna media sosial Malaysia dan mereka mula menyebarkan video Fazura gagal menjawab soalan pengetahuan asas dalam satu kuiz bersama Lisa Surihani dan dia juga terus di’troll’ oleh Netizen kerana membuat laporan polis tentang kejadian itu.

 

7. Drama Hati Perempuan Romantik Atau Mengarut? (248)

Drama Hati Perempuan ialah drama untuk Slot Akasia TV3 yang dilakonkan oleh Syarul Ridzwan dan Mia Ahmad. Ramai yang tidak berpuas hati dengan drama ini kerana watak Mia Ahmad sebagai Yuhanis bersikap kurang ajar terhadap suaminya, Tengku Zaril. Walaupun sudah berkahwin, sering bercakap dengan nada suara tinggi, merajuk tak kira tempat.

Kesimpulannya, konflik drama ini ialah isteri merajuk tak kira masa, yang dianggap tidak berfaedah dan tidak membina untuk para penonton. Lakonan pelakonnya iaitu Mia Ahmad dianggap ‘kayu’ oleh ramai penonton, sehingga Syarul Ridzwan yang sebelum ini tidaklah kaku lakonannya pun menjadi ‘kayu’ seolah-olah terpengaruh dengan lakonan Mia.

Bagaimanapun, baik Syarul atau Mia, kedua-duanya menjadi semakin dikenali melalui drama ini, malah Mia kini mempunyai ratusan ribu pengikut di Instagram dan mampu meraih pendapatan lumayan dengan menjadi duta untuk beberapa produk kecantikan.

8. Wan Sakinah Isteri Ashraf Muslim Luah Perasaan Jadi Isteri Kedua (232)

Wan Sakinah Ahmad Saburi berkahwin dengan Ashraf Muslim di Thailand sebagai isteri kedua, ketika itu tanpa pengetahuan isteri pertama iaitu Noor Dayana Lokman. Disebabkan itu Wan Sakinah telah dikecam teruk apabila perkara itu diketahui netizen.

Awal tahun ini Wan Sakinah yang merupakan bekas personaliti TV9 telah menulis satu status di Instagram berupa tips untuk para isteri kedua. Status Wan Sakinah telah menimbulkan perdebatan di kalangan pembaca BeautifulNara kerana ia memberi gambaran seolah-olah perkahwinan sebagai isteri kedua itu merupakan takdir tuhan yang tidak mampu dielakkan lagi.

Salam. Maaf lewat memberi maklum balas. Ramai yg menghantar email kepada saya bertanya bagaimana saya selaku isteri kedua, menghadapi makian daripada orang sekeliling. Ini jawapannya. “Semua yg terjadi telah tertulis”. Samada anda memilih utk bahagia atau derita, semuanya terpulang kepada anda. Jangan biar orang lain pengaruhi kehidupan kita. Allah sudah berikn nikmat kepada saya, suami yang mencintai & anak yg sihat. Alhamdulillah. Jadi kenapa saya mesti tunduk kepada manusia yang membenci saya? Kepada isteri kedua sekalian, memang kita tiada tempat yang istimewa dihati perempuan diluar sana. Tak kire la kahwin kat Malaysia atau Thailand.
Tambah Wan Sakinah lagi, buat mereka yang hidup bermadu supaya redha dengan ketentuan takdir dan bersyukur atas ketentuanNya itu.
Percayalah dengan apa yang Allah tentukan untuk kita. Hiduplah dengan bahagia. Bersyukurlah. Walau hakikatnya kadang-kadang kite merungut, marah, sedih, tapi tetapkan dalam hati, hidup ini indah!

Sebenarnya tiada yang salah dengan tulisan Wan Sakinah. Keputusan menjadi isteri kedua Ashraf ialah pilihannya dan takdir yang datang selepas itu (dikecam Netizen) perlu dihadapi, hendak atau tidak.

Namun kini Wan Sakinah telah menyahaktifkan akaun Instagramnya dan tidak lagi memberi ‘tips’ kepada para isteri kedua.

9. Naelofar Hijab Dituduh Tiru Rekaan Tudung SugarScarf (217)

Neelofa telah muncul tahun ini dengan perniagaan tudung yang mempunyai 700 agen di seluruh negara dipanggil Naelofar Hijab. Tampil dengan pelbagai rekaan, salah satu rekaan tudungnya iaitu Timeless Beauty dikatakan telah ditiru dari rekaan tudung jenama lain.

Pemilik jenama tudung tersebut mendakwa memegang rekaan industrial tudung tersebut dan menuntut Naelofar menghentikan pengeluaran Timeless Beauty.

Neelofa bagaimanapun mendakwa bahawa rekaan tudung tersebut masih belum didaftarkan sebagai rekaan industrial oleh mana-mana pihak,oleh itu pihaknya bebas untuk mengeluarkan tudung tersebut.

Neelofa juga meluahkan rasa kecewa kerana pemilik jenama tersebut memilih untuk mengeruhkan keadaan dengan menggunakan media sosial  bagi menguar-uarkan tentang perkara tersebut, bukannya dengan cara profesional iaitu melalui tindakan perundangan. Neelofa mencabar pemilik jenama tudung tersebut untuk mengemukakan bukti rekaan industrial sekiranya benar sudah didaftarkan.

Setakat ini, bukti itu masih belum dikeluarkan. Kes itu juga nampaknya tidak memberi kesan kepada jualan tudung Neelofa yang khabarnya mencapai nilai RM 50 juta untuk tahun ini.

10. (TAKZIAH)Siti Nurhaliza Keguguran (212)

Diva kesayangan ramai Datuk Siti Nurhaliza mengesahkan telah keguguran kandungan baru-baru ini. Ia bagaimanapun diselubungi kontroversi kerana ia dihebahkkan oleh pihak lain tetapi Siti sendiri menafikannya.

Namun begitu Siti mungkin punya alasan tersendiri mengikut pesan orang-orang tua untuk tidak menghebahkan usia kehamilan yang terlalu awal.
 Ketika disahkan gugur, usia kandungan Siti mencecah dua bulan, namun begitu Datuk Seri Khalid Jiwa menyatakan yang dia tetap menyayangi Siti walau apa pun terjadi. Itu yang terbaik, bukan?

11. (VIDEO)Gadis Melayu Bertudung Dipeluk Artis Kpop Jadi Bahan Bualan Satu Malaysia (207)

Kecoh satu Malaysia apabila beberapa orang gadis bertudung merelakan diri dipeluk dan dicium dahi oleh ahli kumpulan K-pop dari Korea Selatan iaitu B1A4.

Sebetulnya, bukan salah ahli kumpulkan K-pop itu kerana mereka bukan Muslim dan tidak tahu tatacara pergaulan dengan gadis Muslim, tetapi penganjur sepatutnya menerangkan kepada mereka tentang dos and dont’s dengan peminat Muslim lebih awal.

Dan gadis-gadis itu juga sepatutnya menolak dari dipeluk, tetapi mungkin ia peluang yang tidak mahu dilepaskan oleh mereka. Iyalah, selama ni hanya meminati dari hujung dunia, kini selebriti pujaan ada di hadapan mata dan mahu bermesra pula dengan mereka.

Kisah ini berpanjangan apabila JAKIM mengumumkan mahu mencari gadis-gadis tersebut untuk dikenakan tindakan, bagaimanapun ia dibatalkan apabila niat JAKIM itu mendapat bantahan dan kecaman Netizen.

Sejak itu selebriti Korea yang datang ke Malaysia mula menjaga batas pergaulan dengan peminat Muslim, contohnya pelakon kacak tinggi lampai Lee Min Ho yang menolak untuk bersalaman walaupun dihulurkan tangan oleh seorang peminat bertudung di Nu Sentral.

12. Abby Abadi Berjanji Tidak Mahu Beli Kek Secret Recipe Walaupun Ada Sijil Halal(205)

Kisah yang ini memang kelakar. Selebriti Abby Abadi memuat naik gambar dua kek buatan Secret Recipe yang dibeli untuk sambutan hari lahir anaknya di akaun Instagram, mendakwa tidak akan membeli kek Secret Recipe lagi. Ini ialah kerana dia berasa ragu-ragu dengan status halal kek tersebut yang mungkin dibuat oleh orang bukan Islam.

 photo abbyabadisr.jpgAlasannya, dia mempelajari dari ustaznya bahawa makan makanan orang yang tidak taat perintah Allah akan menyebabkan hati menjadi hitam. Sesetengah peminat membidas kenyataan Abby bahawa apa yang disampaikan itu tidak betul kerana sekiranya makan makanan yang disediakan oleh orang bukan Muslim menghitamkan hati, maka hati Nabi Musa juga telah menjadi hitam kerana Nabi Musa A.S membesar dan makan air tangan orang bukan Islam secara rahsia di istana Firaun.

Tambahan, kalau kita was-was sudah tentu hukum memakan kek itu jadi haram walaupun sebenarnya halal, bukan? Namun begitu, Abby tetap menghidangkan kek itu kepada tetamu yang hadir ke rumahnya dan turut memotong kek itu untuk dihidangkan. Komen Abby itu mendapat kecaman Netizen yang berpendapat Abby ‘melebih-lebih’ dan ada juga yang melabelkan beliau ‘hipokrit’ kerana menghidangkan kek yang beliau sendiri ragui status kehalalannya.

Senang cerita, tak perlu memperberatkan perkara yang mudah. Kalau dah ada status halal JAKIM tu, makan sajalah.

13. Bienda Tuntut M. Nasir Dan AC Mizal Mohon Maaf Kerana Aibkan Ibunya Di Gegar Vaganza 2 (205)

Salah satu kontroversi hangat yang terkait dengan program Gegar Vaganza 2 yang dijuarai oleh Siti Nordiana ialah komen M. Nasir ialah “putera mencari princess tapi rupa-rupanya terjumpa dengan emak princess”, yang dianggap oleh penyanyi, Bienda, sebagai memperlekehkan ibunya.

Sheeda merupakan salah seorang peserta Gegar Vaganza 2 telah memakai busana seperti seorang puteri raja semasa membuat persembahan dengan Aweera. Justeru, Bienda menuntut agar M. Nasir dan Dato’ AC Mizal yang juga juri pertandingan itu memohon maaf dari ibunya kerana baginya, komen mereka keterlaluan.

Baik M. Nasir mahupun AC tidak memberi sebarang reaksi terhadap tuntutan permohonan maaf tersebut, kerana keduanya enggan memberi komen lanjut.

14. Peserta Dewi Remaja, Mawar Rashid Tak Tahu Apa Itu GST (196)

Yang ini memang antara kontroversi terhangat membabitkan salah seorang peserta Dewi Remaja 2014/2015 iaitu Mawar Rashid yang tidak dapat memberi penerangan apa itu Goods and Services Tax (GST) dalam satu temuraramah.

Akibatnya, Mawar telah dicop sebagai ‘beauty without brain’ atau dalam bahasa Melayunya ‘cantik tapi tak ada otak’.

mawar rashid

Selain daripada tidak tahu apa itu maksud GST, Mawar Rashid juga dikritik teruk kerana cara menjawab soalannya yang nampak agak ‘fake’.

Bagaimanapun ada ‘blessing in disguise’ dari kejadian itu, di mana Mawar khabarnya telah mendapat tawaran berlakon apabila namanya heboh diperkatakan, malah Mawar telah mendapat nama jolokan ‘Mawar GST’. Sekarang semua orang ingat Mawar, bukan?


Comments are closed.

Loading...