August 9th, 2018

Minggu ini memang hangat sungguh dengan insiden penyanyi Haqiem Rusli merampas mikrofon seorang peserta I Can See Your Voice Malaysia. Ada yang sudah menyampah dengan sikap Haqiem yang didakwa berlagak dan tidak menghormati orang lain.

Disebalik kecaman yang terus dilemparkan kepada Haqiem oleh netizen, Mark Adam yang juga salah seorang panel dalam program tersebut telah tampil menjelaskan situasi sebenar.

Menurut Mark, beliau yang meminta Haqiem untuk naik ke atas pentas dan mengambil mikrofon untuk menolong peserta itu menyanyikan lagu Tergantung Sepi dengan nada yang betul. Buat Mark, tindakan Haqiem itu tidaklah melampau.

Saya yang menyuruh dia naik ke pentas dan tolong peserta itu menyanyi lagunya dengan betul. Itu bukanlah merampas mikrofon sebaliknya mengambil. Dua tindakan itu berbeza dan ia bukan sesuatu yang kasar seperti yang dikecam netizen. Kami semua, artis dan peserta berseronok ketika sesi rakaman itu berlangsung. Jadi, tak ada isu pun sebenarnya antara Haqiem dengan peserta itu.

Netizen tak pernah jadi artis. Mereka tak faham konsep program itu. Saya diminta pihak produksi untuk membawa karakter gila-gila. Saya tak marah. Sekali saya pernah buat salah, setiap benda yang saya buat orang akan anggap salah.

Mark pada masa yang sama memberitahu beliau juga sudah mengirim mesej meminta maaf kepada peserta itu atas apa yang berlaku.

Sumber Berita : Harian Metro

Kredit Video : ntv7malaysia

August 8th, 2018

Penyanyi Haqiem Rusli sekali lagi memberitahu tindakan dia merampas mikrofon peserta program I Can See Your Voice Malaysia yang mengundang kontroversi sejak beberapa hari lalu hanya sekadar ingin memeriahkan lagi program tersebut tanpa niat untuk memalukan sesiapa.  Haqiem tidak sangka ia boleh menimbulkan salah faham dan membangkitkan kemarahan ramai.

Ia program hiburan dan saya cuma mahu bergembira dengan bergurau. Tidak sangka pula netizen tidak boleh menerima cara gurauan saya itu. Ketika insiden itu, artis lain turut sama bergurau dan meminta saya membetulkan nyanyian peserta terbabit. Saya pergi sekadar untuk bergembira dan tidak berniat mahu mengenakan sesiapa.

Meskipun menerima pelbagai kecaman daripada netizen, Haqiem bagaimanapun berkata beliau sudah lali dengan kritikan negatif yang dilemparkan kepada dirinya. Dalam erti kata lain beliau tidak kisah lagi dikecam.

Saya sudah tak kisah dan lali dengan kecaman kerana pernah dihentam lebih teruk sebelum ini. Lebih baik saya berfikiran positif, selagi ia tidak mengganggu perjalanan karier saya. Cuma saya pelik, kecaman sering diberikan di laman sosial. Tetapi apabila saya membuat persembahan, ramai yang bersorak dan memenuhi pentas. Saya ternanti-nanti saat mereka yang membenci datang dan meluahkan apa yang terbuku di hati. Saya juga ingin tahu mengapa mereka begitu membenci hingga saya selalu dihentam di laman sosial.

Untuk kekal dalam industri hiburan, pastinya seseorang artis itu harus juga menerima kritikan orang ramai dengan hati yang terbuka dan mungkin juga memperbaiki kesalahan yang dilakukan. Tidak salah untuk mempertahankan diri jika terlibat dengan kontroversi tetapi biarlah pada masa yang sama mempunyai sifat rendah diri dan mengakui kesilapan.

Sumber Berita : BH ONLINE

August 7th, 2018

Penyanyi Haqiem Rusli sekali lagi dikatakan sebagai artis kurang ajar dan poyo apabila merampas mikrofon dari  peserta I Can See Your Voice Malaysia. Haqiem dalam penjelasannya berhubung isu tersebut memberitahu tindakannya itu sekadar untuk berseronok dan meminta netizen berhenti mencari kesalahannya.

Walaubagaimanapun, apa yang dilakukan oleh Haqiem itu sebenarnya mendatangkan kemarahan dan membuatkan peserta tersebut yang dikenali sebagai Mohd Syamul merasa sangat malu. Menurut Syamsul, perbuatan Haqiem itu tidak wajar.

Meskipun dia menyanyikan lagu Tergantung Sepi dalam nada sumbang, apa salahnya untuk penyanyi asal lagu berkenaan menghormati dan membiarkan dia menghabiskan nyanyiannya terlebih dahulu.

Pendapat saya, mungkin tindakan Haqiem itu tidak wajar dilakukan apatah lagi dia seorang artis. Kerana setiap tindak tanduk anda diperhatikan.

Biarpun suara saya sumbang, sepatutnya dia kena hormat dan membiarkan saya menyanyikan lagu sampai habis. Kalau tonton program itu versi Korea, juri-juri mereka tidak akan melakukan seperti itu. Tapi saya tak marah dia, cuma rasa terkejut dan tak sangka Haqiem tiba-tiba naik ke pentas dan rampas mikrofon itu.

Bukan hati Syamsul sahaja yang tersinggung tetapi keluarganya juga, bagaimanapun mereka tidak mahu memanjangkan perkara ini. Syamsul berharap sebagai seorang artis Haqiem akan lebih berhati-hati ketika melakukan sesuatu perkara selepas ini.

Sumber Berita : mStar Online

August 6th, 2018

Dikecam kerana isu merampas mikrofon seorang peserta I Can See Your Voice Malaysia, penyanyi Haqiem Rusli tampil mempertahankan tindakannya itu. Menurut Haqiem dia hanya ingin berseronok sahaja dan meminta agar netizen berhenti berfikiran negatif dan mencari kesalahannya.

Netizen jangan terlalu nak mencetus sangat fasal program itu. Kita nak have fun sahaja. Jangan terlalu negatif, jangan terlalu nak cari kesalahan saya. Terima kasih.

Pelawak dan pengacara Jihan Muse yang turut menjadi panel jemputan rancangan realiti tersebut turut memberikan komennya mengenai isu Haqiem ini. Jihan memberikan kata-kata semangat buat Haqiem untuk abaikan sahaja segala komen negatif orang ramai.

Haqiem pada masa yang sama memberitahu beliau sudah lali dengan kecaman dan akan terus positif.

Sumber Berita : mStar Online

Kredit Foto : Kaki Foto