March 1st, 2019

Kontroversi kecurangan Aliff Aziz masih belum reda, kali ini ibu kepada penyanyi tersebut Siti Hafizah Sheikh Mohamad tampil bersuara mengenai kemelut rumah tangga anaknya itu bersama Bella Astillah.

Bermadah dengan memuat naik foto kata-kata mengenai aib seseorang, Siti Hafizah meminta anak dan menantunya untuk muhasabah diri.

Terdahulu, Bella menerusi akaun Instagramnya mendakwa suaminya sudah lebih seminggu tidak balik ke rumah dan memuat naik beberapa paparan skrin perbualan dirinya dengan seorang wanita yang menjadi saksi Aiff berhibur di sebuah kelab malam bersama pelakon baru, Oktovia Manrose. Malah, Bella juga mendakwa beliau mempunyai video bukti kecurangan suaminya.

Bagaimanapun, Aliff masih lagi menyepikan dirinya dan enggan memberikan sebarang komen berhubung kontroversi rumah tangganya.

February 28th, 2019

Susulan kontroversi rumah tangga Aliff Azizi, pelakon Oktovia Manrose akhirnya mengakui kesilapan beliau dan sudah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Bella Astillah menerusi akaun Instagramnya semalam.

Bagaimanapun, Bella menyifatkan Oktovia sebegitu mudah memohon maaf melalui media sosial sahaja. Wanita itu sepatutnya lebih sensitif kerana pernah berkahwin dan memiliki anak.

Permohonan maaf itu ditulis di IG Story. Apa boleh dikatakan, saya tahu kesalahan mereka. Dan apa yang saya muat naik di IG semalam cukup kuat untuk mendedahkan perlakuan mereka di belakang saya. Macam Via (Oktovia), dia patut faham perasaan saya sebab pernah berkahwin dan ada anak.

Saya ramai juga kawan perempuan yang bermasalah dengan suami, tapi tidak sampai tahap mahu berjumpa lelaki lain. Apa mereka buat adalah jumpa kawan perempuan dan kongsi.

Kata Bella, beliau sudah pun berjumpa dengan suaminya itu bagi mendapatkan penjelasan lanjut dan pada masa yang sama sudah menunjukkan bukti rakaman video yang dikirimkan kepadanya. Tiada apa lagi yang Aliff boleh katakan selain meminta maaf kerana terbukti beliau curang.

Saya mahu berjumpa mereka berdua. Tetapi, Via menolak. Jadi, saya hanya jumpa Aliff. Pada mulanya, dia masih ingin menegakkan benang basah dan menafikan semua dakwaan saya. Namun, selepas saya menunjukkan bukti video itu, dia terdiam. Dia tidak tahu mahu cakap apa lagi selain minta maaf. Dia mengaku bersalah dan sedar perbuatannya itu salah.

Namun, mereka berdua tidak berbincang mengenai masa depan perkahwinan yang sudah dibina selama tiga tahun itu. Sejujurnya, setiap kelukaan yang dirasakan membuatkan Bella tawar hati dan menyerahkan segalanya kepada ketentuan Allah SWT.

Bella juga tidak pasti sama ada beliau boleh memaafkan suaminya itu selepas  Aliff sekali lagi mengkhianati kepercayaan dan peluang diberikan.

Sumber Berita : Harian Metro

February 28th, 2019

Tidak mahu terus mengeruhkan keadaan, pelakon Oktovia Manrose yang dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan Aliff Aziz akhirnya tampil mengakui kesilapannya dan memohon maaf secara terbuka kepada Bella Astillah.

Oktovia berkata, beliau sedar apa yang berlaku adalah kekhilafan dari diri sendiri dan memang sepatutnya beliau tidak harus keluar dengan suami orang.

Jelasnya lagi, tindakan beliau berbalas kenyataan dengan Bella sebelum ini adalah kerana terkejut dan tidak tahan dengan provokasi serta kecaman netizen.

Pada masa yang sama, Oktovia berharap kemelut rumah tangga pasangan ini dapat diselesaikan dengan baik.

Terdahulu, Bella menerusi akaun Instagramnya mendedahkan Aliff curang buat kali kedua apabila mendapat maklumat daripada satu sumber mengatakan suaminya sedang berhibur di sebuah kelab malam bersama Oktovia yang ketika itu sedang mabuk. Bagaimanapun, Oktovia menafikannya dan meminta Bella memuat naik bukti menunjukkan Aliff ke kelab malam bersamanya.

February 27th, 2019

Tidak tahan dengan sikap suaminya yang tidak mahu berubah dan curang buat kali kedua, penyanyi Bella Astillah mengakui beliau sudah tawar hati dengan Aliff Aziz dan redha sekiranya perceraian adalah jalan terakhir dan terbaik buat mereka berdua.

Jika perpisahan menjadi jalan terakhir untuk perkahwinan kami, saya akur dan redha. Saya tak sangka dia akan buat hal lagi. Ingatkan, dia sudah berubah. Kali ini, dengan pelakon juga.

Saya sudah tidak mampu untuk berselindung. Sebab itu juga saya memilih untuk berkongsi cerita ini di Instagram. Sebelum ini, saya maafkan dirinya dan memberikannya peluang. Namun, nampaknya dia tidak menggunakan peluang itu sebaik mungkin.

Kerana terlalu cinta dan sayang pada seorang suami, akhirnya hati Bella sendiri yang terluka. Banyak yang sudah dipendam dan kini hatinya sudah tidak mampu untuk menanggung lagi segala keperitan.

Silap saya sendiri sebab terlalu sayang, cinta dan menjaga nama serta keperluannya. Akhirnya, saya juga yang makan hati. Lima tahun kami saling mengenali dan usia perkahwinan kami juga memasuki tahun ketiga. Nampaknya, tempoh itu belum cukup untuk saya benar-benar mengenalinya. Dia masih tak serik. Ikutkan, banyak lagi kisah seumpama ini yang saya pendam dan tidak kongsi bersama umum.

Sejujurnya, Bella tidak sangka suaminya itu boleh bermain cinta dengan Oktovia Manrose dalam tempoh yang singkat sewaktu menjalani penggambaran sebuah telefilem. Namun, Bella akui sejak kebelakangan ini sikap Aliff mula berubah dengan ketara sekali.  Emosi suaminya itu agak tidak stabil dan banyak berdiam diri.

Dalam pada itu, Bella menafikan dakwaan kononnya beliau menghalau Aliff keluar rumah sejak 17 Februari lalu. Katanya pada waktu itu, Bella memberikannya pilihan untuk memperbaiki hubungan mereka atau keluar rumah dan akhirnya Aliff sendiri yang angkat kaki.

Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Ayden Adrean pada 8 Julai 2017.

Sumber Berita : BH ONLINE