Zoo Tennoji di Osaka, Jepun tampil mempamerkan siri foto tiga gajah dari Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat atau DAK, yang didakwa berada dalam keadaan baik di bawah jagaan mereka.
Hantaran dalam bahasa Jepun itu dimuat naik di laman web rasmi tennojizoo.jp pada Ahad lalu, ketika kebimbangan rakyat Malaysia semakin meningkat terhadap keadaan ketiga-tiga gajah tersebut.

Untuk makluman, Dara, Amoi dan Kelat dipindahkan dari Zoo Taiping & Night Safari ke Zoo Tennoji pada 11 Mac lalu sebelum mula dipamerkan kepada umum sejak 21 April.
Menerusi hantaran tersebut, pihak zoo turut memperkenalkan Kelat, seekor gajah jantan berusia 20 tahun, sebagai gajah yang tegas namun mempunyai sisi manja dan gemar bersama dua gajah betina lain.
“Sepanjang sebulan lalu, Kelat dilihat sebagai gajah yang tegas, namun pada masa sama sedikit manja seperti kanak-kanak.”
“Difahamkan, gajah Asia jantan pada usia sebegini kebiasaannya hidup bersendirian dan tidak berada dalam kumpulan. Justeru, di kandang gajah Zoo Tennoji, kami mempunyai sebuah rumah gajah khas yang membolehkan gajah jantan tinggal secara bersendirian,” katanya.
Dalam hantaran sama, Zoo Tennoji memaklumkan pihaknya masih belajar mengenai penjagaan gajah daripada kakitangan Malaysia yang mempunyai pengalaman luas mengendalikan haiwan tersebut.

Pihak zoo turut menyatakan rasa kagum terhadap tahap kemahiran tinggi kakitangan Malaysia yang sudah bertahun-tahun bekerja dengan gajah.
“Pasukan gajah baharu kami juga sedang bekerja keras untuk menyesuaikan diri dengan pergerakan gajah yang sangat aktif. Kami sedar masih banyak kekurangan yang perlu diperbaiki.”
Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menggesa Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) segera memulakan rundingan dengan Tennoji Zoo Osaka (ZTO) bagi menilai mekanisme membawa pulang tiga gajah Asia tersebut.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
