Pengasas Tarbiah Sentap merangkap Pengarah dan Penerbit Nasyid Friday, Ustaz Adnin Roslan menegaskan pihaknya tidak akan mengambil mana-mana penyanyi wanita untuk bernaung di bawah syarikatnya.
Menurut Adnin atau nama lengkapnya Ahmad Adnin Datuk Haji Roslan, 33, keputusan itu dibuat kerana beliau berpegang kepada pandangan sesetengah ulama yang tidak menyarankan wanita menyanyi secara terbuka.
“Saya tidak akan mengambil artis wanita sebab saya berpandangan wanita lebih baik tidak menyanyi.
“Saya berpegang pada pandangan ulama tertentu, kalau ada pandangan yang berbeza daripada ulama lain, terpulang tapi saya pilih jalan yang lebih selamat,” katanya.
Adnin berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Nasyid Friday yang diadakan di Ruang Shah Alam, semalam.
Dalam masa sama, pelantun lagu Seni Berdamai Dengan Takdir itu berpandangan kehadiran penyanyi wanita boleh mengalih fokus penonton, khususnya lelaki, daripada mesej lagu kepada penampilan.
“Bagi saya yang lebih dekat dengan taqwa, perempuan tidak menyanyi di khalayak ramai sebab bila wanita menyanyi, orang akan fokus pada nyanyian atau kecantikan?
Terutamanya lelaki akan puji cantik solekannya. Akhirnya lebih banyak keburukan tersebar berbanding manfaat jadi bagi saya, lebih dekat dengan taqwa, wanita tidak digalakkan menyanyi.
Jelas Adnin, pendirian sama turut diamalkan dalam pengurusan syarikatnya apabila majoriti pekerjanya terdiri daripada lelaki, manakala pekerja wanita pula diminta bekerja dari rumah.
Beliau turut menegaskan bahawa studionya tidak menerima mana-mana wanita untuk membuat rakaman lagu.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
