Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan kenyataan berhubung hantavirus selepas wujud kes disyaki wabak di sebuah kapal persiaran mewah yang ditahan di perairan luar pantai Afrika Barat.
Pengarah Kesiapsiagaan Epidemik dan Pandemik WHO, Maria Van Kerkhove berkata, pihaknya kini bekerjasama dengan pihak berkuasa Cape Verde dan Belanda, selain pengendali kapal tersebut, bagi memindahkan dua individu yang dilaporkan sakit di atas kapal berkenaan, memetik AP Press.

Menurut pihak berkuasa, kira-kira 150 penumpang masih berada di atas kapal selepas tiga individu dilaporkan meninggal dunia. Mereka terdiri daripada sepasang suami isteri warga Belanda dan seorang warga Jerman, manakala beberapa penumpang lain turut jatuh sakit.
Seorang penumpang warga Britain pula dilaporkan telah meninggalkan kapal tersebut dan kini sedang menerima rawatan di Afrika Selatan.
Dalam pada itu, Van Kerkhove menjelaskan bahawa risiko jangkitan kepada orang awam adalah rendah. Katanya, hantavirus kebiasaannya merebak melalui sentuhan dengan tikus yang dijangkiti, termasuk air kencing, najis dan air liur haiwan tersebut.
Jurucakap kepada pengendali kapal berpangkalan di Belanda, Oceanwide Expeditions, berkata semua penumpang telah diarahkan untuk kekal berada di dalam kabin masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang potensi penularan virus.
Walaupun penularan dari manusia ke manusia jarang berlaku, tempoh inkubasi hantavirus boleh mengambil masa beberapa minggu. Ini bermakna sebahagian individu yang terdedah mungkin belum menunjukkan sebarang simptom.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
