Bekas suami Jahidah Nordin @ Sylvester, Rosmaini Abdul Raof dijatuhi hukuman penjara 14 tahun oleh Mahkamah Rayuan hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap wanita itu, lima tahun lalu.
Hukuman maksimum tersebut dikenakan terhadap Rosmaini, 43, selepas panel tiga hakim sebulat suara menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini, memetik Harian Metro.
Panel hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid turut memerintahkan tertuduh membayar ganti rugi sebanyak RM25,000 kepada mangsa. Jika gagal membayar, Rosmaini boleh dikenakan hukuman penjara enam bulan.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman berkenaan berkuat kuasa mulai hari ini.
Sebelum ini, pada 4 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 9 Disember 2024 yang mensabitkan Rosmaini dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadapnya.
Bagaimanapun, Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad ketika itu membenarkan pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan akhir.
Rosmaini juga difahamkan sempat menjalani hukuman penjara selama 79 hari selepas disabitkan bersalah oleh Mahkamah Sesyen.
Pada 17 Jun 2021, Rosmaini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap Jahidah, 46, yang ketika kejadian sedang hamil 10 minggu.
Dia didakwa memukul kepala, muka dan tangan mangsa serta menendangnya dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Kampung Aman, Larkin, Johor Bahru pada jam 6 pagi, 4 Mei tahun sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda. Ia turut dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, yang membolehkan hukuman penjara dikenakan sehingga dua kali ganda daripada tempoh maksimum.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
