Pasukan penyelamat bertungkus-lumus menjalankan operasi menyelamat mangsa nahas kereta api yang berlaku awal pagi di luar ibu negara Indonesia, Jakarta, selepas dua tren dilaporkan bertembung semalaman.
Jurucakap syarikat Kereta Api Indonesia, Anna Purba memaklumkan kepada stesen televisyen tempatan bahawa sekurang-kurangnya tujuh individu terkorban dalam kejadian tersebut, manakala 81 lagi mengalami kecederaan, memetik media tempatan.
Menurut beliau, usaha menyelamat masih diteruskan bagi mengeluarkan dua mangsa yang dipercayai masih hidup tetapi terperangkap dalam serpihan gerabak.
Di Stesen Bekasi Timur, suasana dilaporkan huru-hara sejurus selepas kejadian, dengan petugas penyelamat dilihat menjerit meminta bekalan oksigen, sementara ambulans beratur panjang untuk membawa mangsa ke hospital.

Seorang wartawan AFP di lokasi kejadian turut menyaksikan mangsa diusung keluar dari bangkai kereta api menggunakan pengusung sebelum dimasukkan ke dalam ambulans yang sedia menunggu.
Dalam pada itu, Timbalan Speaker Dewan, Sufmi Dasco Ahmad berkata jumlah korban berkemungkinan meningkat.
“Berdasarkan proses pemindahan yang masih berjalan, berkemungkinan jumlah mangsa akan terus meningkat,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Jakarta, Asep Edi Suheri menjelaskan bahawa tren jarak jauh telah merempuh gerabak terakhir sebuah tren komuter yang dikhaskan untuk wanita.
“Semua mangsa berada di dalam kereta api komuter, manakala kesemua kira-kira 240 penumpang di kereta api kedua telah dipindahkan dengan selamat,” katanya.
Menurut agensi mencari dan menyelamat Jakarta, perlanggaran tersebut menyebabkan kerosakan teruk pada beberapa gerabak.
“Insiden itu menyebabkan beberapa penumpang mengalami kecederaan, manakala sejumlah mangsa dilaporkan terperangkap di dalam gerabak akibat daya hentaman,” menurut kenyataan agensi tersebut.
Tambah agensi itu lagi, operasi menyelamat masih diteruskan dengan penggunaan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap daripada struktur kereta api yang rosak.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
