Rutin pengorbanan seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia yang sanggup berulang-alik sejauh lebih 700 kilometer setiap minggu demi keluarga berakhir dengan tragedi apabila beliau dilaporkan maut dalam kemalangan jalan raya, Sabtu lalu.
Mangsa, Azman Mazni menghembuskan nafas terakhir ketika menunggang motosikal dalam perjalanan pulang dari Papar menuju ke kediamannya di Sibu kira-kira jam 9.45 malam.
Berita pilu itu dikongsikan oleh sahabat baiknya, S Faizzul Syar menerusi satu hantaran di Facebook. Difahamkan, arwah bertugas di Depot Imigresen Papar.
Menurut Faizzul, arwah menjadikan perjalanan jauh sebagai rutin mingguan untuk bertemu keluarga tercinta, sama ada di Miri atau Sibu.

Katanya, perjalanan tersebut bukan sahaja merentasi negeri, malah melibatkan laluan antarabangsa melalui Brunei dengan jarak melebihi 700 kilometer.
“Pengorbanan seorang suami, ayah dan anak. Lebih kurang setiap minggu ulang-alik dari Depot Imigresen Papar (tempat kerja) ke rumah sama ada Miri atau Sibu.”
“Di Miri ada ibu nak dijaga. Di Sibu pula ada isteri dan anak. Perjalanan melebihi 700km merentasi Brunei,” kongsinya.
Pemergian arwah bukan sahaja dirasai sebagai kehilangan besar dalam kalangan rakan sekerja, malah meninggalkan kesan mendalam buat sahabat yang mengenalinya sejak kecil.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
