Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dilaporkan berdepan cemuhan dan kata-kata kesat ketika menjalankan operasi memadam kebakaran di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan, awal pagi Ahad.
Berdasarkan rakaman video yang tular di media sosial, orang ramai dilihat menjerit, menyuruh anggota bertugas beredar serta melabel mereka tidak berguna sebaik jentera bomba tiba di lokasi kejadian. Situasi tegang itu bagaimanapun berjaya dikawal selepas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) campur tangan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Jimmy Lagung berkata, insiden seperti itu bukan sesuatu yang luar biasa dan sering menjadi antara cabaran dalam tugas pasukan penyelamat.
“Keadaan seperti ini sudah biasa kami lalui. Kami faham mangsa berada dalam situasi tertekan, jadi kami maafkan dan anggap ia sebahagian daripada cabaran tugas,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, kebakaran besar dilaporkan memusnahkan sekitar 1,000 rumah di kampung berkenaan.
Operasi pemadaman turut berdepan kesukaran berikutan laluan masuk yang sempit, sekali gus menjejaskan kelancaran pergerakan jentera bomba ke lokasi kejadian.
Insiden tersebut sekali lagi membuka perhatian terhadap cabaran sebenar yang dihadapi anggota penyelamat, khususnya ketika berdepan tekanan emosi mangsa dalam situasi kecemasan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
