Seorang bekas juruteknik X-ray dilaporkan bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) atas dakwaan kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sehingga didakwa mencetuskan “kluster kanser”, memetik Malaysia Kini.
Bagaimanapun, Universiti Malaya yang mempunyai bidang kuasa ke atas pusat perubatan itu menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan semua operasi mematuhi garis panduan keselamatan.
Sumber : MALAYSIA KINI Bekas petugas unit perubatan nuklear PPUM, Nur Fauzia Abdul Razak memaklumkan bahawa peguamnya akan mengumumkan butiran lanjut dalam sidang media tidak lama lagi. Dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), beliau mendedahkan dirinya kini menghidap limfoma Hodgkin tahap empat.
Menurutnya, beberapa rakan sekerja lain turut mengalami penyakit serius termasuk kanser paru-paru, leukemia, kanser payudara serta gangguan tiroid.
“Lebih membimbangkan, pesakit kanser payudara itu terpaksa menjalani pembedahan caesarean bagi kelahiran pramatang sebelum menjalani mastektomi iaitu pembedahan membuang tisu payudara untuk rawatan kanser.”
“Semua kakitangan terjejas adalah dari jabatan radiologi (PPUM),” katanya.
Nur Fauzia mendakwa situasi itu mula berlaku selepas pemasangan mesin PET-CT beberapa tahun lalu, dengan peningkatan kes penyakit berkaitan radiasi dalam kalangan kakitangan sejak itu. Beliau juga mendakwa wujud cubaan menutup isu berkenaan.
Bagaimanapun, surat daripada Bahagian Kawal Selia Radiasi Perubatan (BKRP) bertarikh 19 Oktober 2025 menyatakan hasil siasatan tidak menemui sebarang pelanggaran SOP.
“Berdasarkan semakan rekod laporan pemeriksaan kesihatan berkala, laporan dos radiasi individu serta pemeriksaan peralatan dan prosedur kerja, didapati tiada isu keselamatan seperti yang didakwa dalam aduan, dan semua langkah keselamatan serta pematuhan terhadap Akta Perlesenan Tenaga Atom adalah teratur.”
“Semua bacaan dan kawalan berkaitan pendedahan radiasi juga berada dalam julat yang dibenarkan, selaras dengan Peraturan-Peraturan Perlesenan Tenaga Atom (Perlindungan Keselamatan Radiasi Asas) 2010,” menurut bahagian itu.
Walaupun begitu, beliau mendakwa terdapat percanggahan dengan pertemuan terdahulu bersama pegawai BKRP yang kononnya mengaitkan penyakit tersebut dengan pendedahan radiasi jangka panjang.
Selain itu, Nur Fauzia turut mendakwa berlaku pelanggaran SOP termasuk kekurangan perlindungan, akses pesakit ke kawasan radiasi tanpa kawalan, serta penggunaan lif awam berhampiran peralatan radiasi. Kakitangan juga didakwa tidak dibekalkan peralatan perlindungan diri (PPE) mencukupi walaupun berdepan risiko radiasi sinar gamma.
Dalam perkembangan sama, isu tersebut telah dibawa kepada perhatian Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, dan satu pertemuan rasmi dijangka diadakan dalam masa terdekat.
Wakil Sekretariat Reformasi Institusi Pendidikan Tinggi turut mengemukakan 10 tuntutan termasuk siasatan bebas, audit menyeluruh, pemantauan dos radiasi, perlindungan pekerja dan pampasan kepada mangsa.
Aktivis pelajar turut memberi amaran akan mengadakan protes sekiranya tuntutan tersebut tidak dipenuhi.
Sementara itu, Universiti Malaya menegaskan bahawa operasi imbasan PET-CT dilaksanakan mengikut piawaian keselamatan ketat serta tahap pendedahan radiasi berada dalam had yang dibenarkan. Mereka turut menjelaskan bahawa semua pekerja sinaran diwajibkan memakai dosimeter peribadi dan menjalani pemeriksaan kesihatan berkala.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
