Festival Coachella sekali lagi menjadi tumpuan bukan sahaja sebagai acara muzik, tetapi juga platform menyampaikan mesej politik apabila band terkenal Amerika, The Strokes tampil dengan persembahan yang mencetuskan perbincangan.
Pada hujung minggu kedua festival tersebut, kumpulan itu menutup persembahan dengan lagu Oblivius (2016). Namun, apa yang mencuri perhatian bukan sekadar muzik, tetapi visual yang dipaparkan di skrin besar sepanjang lagu dimainkan.
Montaj tersebut memaparkan naratif yang mengaitkan Central Intelligence Agency (CIA) dengan pelbagai usaha menjatuhkan kerajaan luar negara.
Antara peristiwa yang diketengahkan termasuk penggulingan Perdana Menteri Iran, Mohammad Mossadegh pada tahun 1953 satu insiden yang telah didedahkan melalui dokumen rahsia.
Visual itu turut memaparkan beberapa tokoh dunia lain seperti Patrice Lumumba, Juan José Torres, Jacobo Árbenz dan Salvador Allende, yang sering dikaitkan dengan campur tangan kuasa besar dalam sejarah politik global.
Lebih mencetuskan kontroversi, montaj itu turut menyentuh dakwaan penglibatan kerajaan dalam pembunuhan Martin Luther King Jr., walaupun siasatan rasmi oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat tidak menyokong keputusan kes sivil 1999 yang mendakwa wujudnya konspirasi melibatkan agensi kerajaan.
Di tengah-tengah visual berkenaan, vokalis utama Julian Casablancas menyanyikan lirik “What side you standing on?” seolah-olah mencabar penonton untuk berfikir dan menentukan pendirian masing-masing.
Menariknya, di sebalik visual pentas yang mencuri perhatian itu, salah seorang pengarah seni (art director) persembahan The Strokes di Coachella merupakan Johann Rashid, anak kepada pasangan warganegara Malaysia dan Australia yang kini aktif berkarya dan menetap di luar negara.
Perkongsian mengenai penglibatan beliau turut dikongsikan menerusi akaun Threads @promiseland, sekali gus menarik perhatian netizen tempatan yang bangga melihat anak Malaysia terlibat dalam produksi bertaraf antarabangsa.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
