Pelakon dan usahawan, Syida Melvin meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa dirinya dizalimi oleh seorang individu berinisial SS, yang dipercayai merujuk kepada suaminya.
Menerusi beberapa hantaran di Instagram Story, Syida atau nama lengkapnya Nur Syifa Assyidda Amirol Melvin mendakwa dia diperlakukan seperti ‘pengemis’ dalam syarikat yang dibina menggunakan wang modalnya sendiri.

“Tak sangka betul eh aku Kena jadi pengemis dalam company yang ada nama aku yang aku letak duit modal untuk siapkan bisnes.
Leburkan harta-harta hanya untuk nak ada modal buat bisnes sampai siap dan beroperasi sampai sekarang. Tak ambil gaji banyak bulan, kalau ada pun sangat sikit amount, tapi macam ni eh aku dapat.”
Menurut Syida, dia sanggup mengorbankan harta peribadi demi memastikan perniagaan tersebut dapat beroperasi dengan baik, selain tidak mengambil gaji selama beberapa bulan demi kestabilan syarikat.
Namun, pengorbanan itu didakwa berakhir dengan pengkhianatan apabila individu berkenaan dikatakan enggan melunaskan tunggakan hutang syarikat yang didaftarkan atas namanya.
Dalam masa sama, Syida turut mendakwa individu tersebut menetap di rumah kelamin miliknya tanpa membuat sebarang bayaran, sedangkan dia bersama anak-anak terpaksa menumpang di rumah keluarga.
Lebih mengejutkan, individu terbabit juga didakwa membuat laporan polis palsu kononnya buku cek syarikat hilang, dipercayai bagi menghalang Syida mengeluarkan wang untuk menyelesaikan hutang syarikat.
Terdahulu, peguam yang mewakili Syida mengesahkan aktres itu telah memfailkan cerai terhadap suaminya, Syafiq Azim di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor pada Disember lalu.
Walaupun perbicaraan kes sebelum ini pernah ditangguhkan susulan adanya usaha pendamaian antara mereka, peguam memaklumkan Syida nekad untuk meneruskan perceraian.
Sekadar rekod, Syida mendirikan rumah tangga dengan Mohamad Syafiq Azim Shaheen, 37, pada 19 Januari 2019.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
