April 18th, 2018

Masih tidak banyak yang ingin dikongsikan oleh penyanyi popular 90-an Ziana Zain mengenai apa yang berlaku dalam rumahtangganya. Biarpun wajahnya menyimpan seribu luka terpendam, dia tidak berhasrat untuk bercerita yang buruk mengenai suaminya, Armin Zaharin Ahmad Zambri, 53, seorang bekas ketua pramugara.

Utusan Online melaporkan, Ziana bagaimanapun mengakui dia sudah memendam rasa untuk satu jangkamasa yang panjang:

Biarlah kami sahaja yang tahu. Cuma saya akui, sudah lama memendam rasa dan Alhamdulillah, saya serta anak-anak boleh menghela nafas lega sekali gus berpeluang menikmati rasa bahagia.

Ahli keluarga dia (suami) adalah keluarga saya juga. Jadi tidak baik untuk saya buka pekung sendiri.

Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 50, memberitahu perpisahan mereka bukanlah disebabkan orang ketiga.

Armin juga dikhabarkan tidak menghubunginya dan anak-anak setelah dibebaskan dari tahanan polis:

Firman Allah dalam al-Quran, kun fa ya kun, maka jadilah. Siapa saya sebagai hamba-Nya untuk mengelak setiap takdir yang telah ditentukan ke atas saya.

Dia Maha Kuasa. Saya terima semua ini sebagai satu ujian. Mungkin ada hikmahnya.

Ziana dan Armin mendirikan rumahtangga sejak tahun 1998 dan mempunyai empat orang anak hasil perkahwinan mereka yang mencecah usia 20 tahun iaitu Muhammad Aiman, 19, Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9. – beautifulnara.com

April 15th, 2018

Pelakon Zahirah Macwilson mengakui rasa terkejut dengan pendedahan Zul Ariffin bahawa antara punca mereka berpisah ialah sikap Zahirah yang tidak sensitif. Zul memberitahu, Zahirah dilihat berselfie di dalam masjid kira-kira 20 meter dari jenazah ibunya yang pergi menghadap ilahi Disember lepas.

Zul juga memberitahu hubungan mereka telah lebih sebulan putus dan dia memaafkan Zahirah, namun begitu tidak dapat meneruskan hubungan dengan jelitawan itu.

Keseluruhan artikel dengan membaca entri ini sepenuhnya.

Kepada Astro Gempak, Zahirah memberitahu kenyataan Zul ialah suatu fitnah:

Saya terkejut membaca kenyataan Zul. Fitnah semata-mata. Jika benar, kalau ada bukti, sila tunjukkan. Apa motif dia burukkan nama saya selepas membuat pengesahan yang kami sudah putus?

Takkan saya tak ada perasaan? Takkan saya tak sensitif langsung? Saya pun ada mencium arwah ibunya. Agak-agaklah, saya bukannya bodoh sangat sehingga sanggup bertindak sebegitu.

Memang saya ada di masjid ketika itu dan saya hadir bersama teman saya. Dia juga mengenali teman saya. Nak berkata tentang selfie, saya ada berswafoto dengan sepupu Zul, itu pun ketika di selesai malam tahlil. Bukan ketika berada di dalam masjid sewaktu jenazah ibunya masih ada.

Selepas selesai kenduri, sepupunya ada meminta untuk mengambil selfie bersama saya, jadi saya turutkan sahaja.

Zahirah juga mendakwa ia bukan punca sebenar hubungannya dengan Zul putus, sebaliknya dia merahsiakan sebab sebenar kerana tidak mahu mengaibkan sesiapa:

Kami sudah tiada hubungan, benar, sudah lebih sebulan, dia juga mengatakan sudah memaafkan saya, tetapi kenapa perlu memburukkan saya? Kenapa nak tabur fitnah?

Kami putus pun bukan atas sebab tersebut. Saya tak mahu membuka mulut kerana itu akan membuka aib sahaja. Saya tak mahu burukkan sesiapa. Biarkanlah dia, saya hanya akan berdiam sahaja dan tak mahu berbicara lagi mengenai perkara ini.

Apa yang berlalu, biar berlalu kerana saya mahu terus maju memandang apa yang ada di hadapan serta memberikan fokus kepada karier selepas ini.

Zahirah mendapat sokongan pengikut di Instagramnya dan hasratnya untuk fokus kepada kerjayanya mungkin ialah satu keputusan terbaik. Drama terbaru Zahirah bergandingan dengan Syafiq Kyle, Tak Ada Cinta Sepertimu berjaya mempopularkan Zahirah di kalangan peminat drama tempatan.

Zul dan Zahirah mulai rapat dan bercinta setelah membintangi sebuah drama di mana Zahirah ialah seorang pelakon pembantu di samping Zul yang merupakan pelakon utama sekitar tahun 2015. – beautifulnara.com

February 28th, 2018

Ude Wahid memberitahu Berita Harian Online bahawa dia tidak lagi mempunyai hati kepada isteri pertamanya justeru tiada sebab untuk terus mempertahankan perkahwinan mereka.

Gambar: Berita Harian

Ude juga kecewa dengan tuduhan melulu netizen mengatakan dia bapa tidak bertanggungjawab.

Agak lama juga saya membuat pertimbangan dan perpisahan adalah jalan terbaik. Bagaimanapun, kebajikan isteri pertama dan dua anak kami, Arish Muqri, 4, serta Ariq Muqri, 1, tidak akan diabaikan.

Ketika ini, mereka tinggal bersama isteri pertama, tetapi saya bebas mengambil untuk bermalam pada bila-bila masa.

Saya kecewa dilemparkan tuduhan melulu netizen yang menganggap saya sebagai bapa yang tidak bertanggungjawab. Apa juga yang terjadi antara saya dan isteri pertama, itu masalah kami. Tidak perlu mengaitkan anak saya.

Buat masa ini, dia masih belum melafazkan cerai kerana perlu berbincang menenai nafkah dan hak penjagaan anak.

Saya masih belum melafazkan talak terhadap Intan Liana. Ketika ini, kami dalam proses perbincangan mengenai nafkah dan hak penjagaan anak.

Saya terkejut apabila dikatakan sudah melafazkan cerai terhadap isteri pertama, sedangkan ia baru sebutan kes.

Intan Liana Saleh, isteri pertama Ude bagaimanapun memberitahu masih sayangkan suaminya dan tidak tahu mengapa Ude ingin menceraikannya.

Ude telah memfailkan permohonan cerai terhadap Intan pada 30 November tahun lepas, hari yang sama Intan membuat pendedahan kepada Utusan Online bahawa suaminya telah bernikah dengan Izreen Azminda secara rahsia pada Ogos.- beautifulnara.com

August 26th, 2015

Terkejut kami mendengar khabar bahawa hubungan Yatt Hamzah dan suami akhirnya berakhir apabila beliau telah sah bercerai dengan talak satu semalam ( 25 Ogos) di Mahkamah Tinggi Syariah KL secara tertutup pada jam 4.23 petang.

Berita tersebut di sahkan  sendiri oleh bekas suaminya, Abdul Mutalib Shukor menerusi satu mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada portal BH Online. Mereka telah berpisah secara baik dan mahu memaklumkan perkara tersebut agar tidak timbul sebarang fitnah pada masa hadapan.

Kami berpisah secara baik. Makluman ini dibuat bertujuan mengelak sebarang fitnah dan pandangan negatif masyarakat. Apa pun mohon teman media mendoakan yg terbaik buat kami berdua meneruskan kehidupan seperti biasa. Sekian, terima kasih.

Rumah tangga mula bergoyah pada bulan Februari lepas dan Yatt sendiri telah memfailkan cerai terhadap Abdul Mutalib. Walaubagaimanapun, selepas berkunjung ke bumi Syria bersama suaminya itu, terdetik satu perasaan penyesalan di hati Yatt  atas keputusan yang dibuat.

Selepas pulang dari Syria, mereka berdua mengambil keputusan untuk kembali berbincang mengenai masalah rumah tangga mereka dan akhirnya membatalkan niat untuk bercerai dan sama-sama menunaikan ibadah  umrah di Mekah pada  bulan Ramadhan lepas.

Pasangan tersebut berkahwin pada 29 Mac 2009, hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Suci Hanania Malika Abdul Mutalib berusia lima tahun.

Meskipun mereka dilihat sudah mula bahagia kembali nyata jodoh Yatt Hamzah dan Abdul Mutalib tidak panjang. Mereka  juga sudah cuba sehabis baik untuk menyelamatkan masjid yang dibina. Semoga Yatt bertabah dengan dugaan ini.

Sumber Berita: Berita Harian