November 21st, 2017

Susulan beberapa kritikan pedas Chef Wan terhadapnya yang mendapat perhatian ramai, pelawak dan pengacara Nabil Ahmad memberi amaran kepada selebriti terkenal tersebut agar tidak lagi memuat naik sebarang status berbaur hasutan yang mampu menutup periuk nasinya.

Nabil juga sebelum ini ada memuat naik satu video respon balas terhadap Chef Wan di akaun Instagramya tetapi beliau memadam video tersebut selepas mendapat pelbagai reaksi daripada netizen. Nabil bukan ego tetapi melakukan perkara tersebut atas nasihat peguamnya yang kini sedang mengumpul bukti terhadap isunya bersama Chef Wan.

Kalau ikut saya memang saya tidak mahu layan tapi peguam yang menjaga kerjaya saya menganggap ia sebagai sesuatu yang serius dan merosakkan reputasi. Dia minta saya respons bukan untuk bergaduh sebaliknya sebagai bukti kepada klien. Saya perlu menjaga nama baik saya kerana beberapa produk besar yang saya tandatangan meminta penjelasan tentang itu.

Menurut Nabil, beliau hanya menjalankan tugas sebagai seorang pengacara seperti yang diminta oleh pihak produksi untuk menghiburkan penonton. Nabil akui setelah apa yang berlaku, beliau sudah hilang rasa hormat terhadap Chef Wan yang selama ini menjadi idolanya untuk berjaya sehingga ke peringkat antarabangsa.

Sumber Berita : mStar Online

November 21st, 2017

Susulan luahan kecewa Nabil Ahmad yang menyifatkan tindakan Chef Wan menegur cara beliau mengacara secara terbuka di akaun Instagram tidak profesional,  Chef Wan tampil lagi dengan kenyataan terbaru berhubung isu tersebut.

Menurut Chef Wan, beliau bukan mahu menanam benih kebencian dalam hati penonton terhadap Nabil tetapi hanya ingin menasihati pengacara tersebut. Pernah menjadi juri jemputan Gegar Vaganza 2017, Chef Wan mendedahkan setiap tahun pasti ada sahaja juri yang bengang dengan sikap Nabil.

Netizen yang membaca kenyataan Chef Wan bersetuju dengan tindakan beliau yang berani menyuarakan isu lawak Nabil yang dianggap keterlaluan.

Nampaknya isu ini semakin hangat dengan kedua-dua belah pihak yang saling berbalas kenyataan. Teguran pedas bukan bermakna ingin menjatuhkan seseorang dan tidak salah untuk dijadikan pengajaran agar tidak mengundang sebarang salah faham.

November 21st, 2017

Pelawak dan pengacara Nabil Ahmad nampaknya kali ini sudah tidak boleh menahan rasa bengang dan kecewanya apabila gaya pengacaraannya ditegur sekali lagi oleh Chef Wan menerusi akaun Instagramnya.

Nabil menyifatkan tindakan Chef Wan yang membuat teguran secara terbuka itu tidak profesional dan seolah-olah sengaja mahu memalukan dirinya.

Rasanya sebelum ini tiada orang yang membalas kritikannya, jadi saya ambil peluang untuk menjawab menerusi Instagram #nabilzira. Saya bukan geram tetapi kapsyen yang dimuat naiknya itu membuka ruang untuk netizen menghina saya.

Adakah wajar dia menuduh saya menjadi penyebab kepada masalah sosial dalam kalangan kanak-kanak seperti yang dibangkitkannya? Tindakannya itu membuatkan saya malu, apatah lagi saya ada ibu bapa dan anak-anak yang membaca kritikan tersebut.

Terdahulu, Chef Wan menganggap Nabil kurang ajar apabila menyampuk setiap kali juri ingin memberikan komen kepada peserta Gegar Vaganza 2017. Malah, tindakan Nabil yang mengusik dan mengajuk percakapan juri adalah sesuatu yang menjengkelkan dan khuatir ia mampu memberikan impak negatif kepada kanak-kanak yang turut menonton rancangan tersebut.

Pada pendapat kami, mungkin Chef Wan tidak mempunyai sebarang niat untuk memalukan Nabil ataupun Jihan tetapi cuma meminta mereka untuk memberikan sedikit ruang bagi juri untuk menyatakan pendapat  mereka agar  peserta GV 2017 dapat memperbaiki kelemahan mereka. Apa pula pendapat anda?

Sumber Berita : Utusan Online