December 4th, 2017

Nampaknya netizen masih lagi tidak boleh berhenti berbicara tentang isu pernikahan rahsia pelakon Izreen Azminda sebagai isteri kedua kepada pemuzik Ude. Tidak dinafikan, Izreen menerima pelbagai kecaman daripada setiap sudut.

Kini timbul pula gosip terbaru mengatakan Izreen sebenarnya ada memuat naik satu entri menyindir madunya, Intan Liana menerusi akaun Instagramnya beberapa hari lalu sebelum ia dipadam kerana mendapat kritikan negatif daripada netizen. Menurut Miss K di portal Astro Gempak, Izreen memuat naik entri tersebut sebaik sahaja Intan membuat pendedahan bahawa suaminya sudah berkahwin dengan Izreen. Intan membuat kenyataan itu pada hari Khamis minggu lalu.

Sejak berita pernikahan beliau menjadi satu kontroversi hangat, Izreen juga sudah menutup ruangan komen di akaun Instagramnya, mungkin kerana merasa tertekan dihentam teruk oleh netizen.

Terdahulu, Izreen mengakui sudah bernikah dengan Ude pada 8 Ogos lepas. Izreen memberitahu beliau tidak pernah berniat untuk menjadi perampas suami orang seperti yang didakwa dan segala yang berlaku adalah ketentuan takdir.

Sumber Berita : Astro Gempak

December 2nd, 2017

Siapa sangka dalam diam pelakon Izreen Azminda sudah bergelar isteri kedua kepada seorang pemuzik yang dikenali sebagai Ude. Perkahwinan Izreen mengejutkan orang ramai dan menerima kritikan negatif dari netizen serta dilabel sebagai perampas suami orang.

Mereka kecewa dengan sikap serta tindakan Izreen yang sanggup berkahwin secara rahsia dengan Ude tanpa meminta izin isteri pertama lelaki tersebut. Sebagai seorang wanita Izreen sepatutnya mengetahui betapa sedih dan sakit hati apabila dimadukan.

Terdahulu, Ude membuat pengakuan secara terbuka yang beliau sudah memperisterikan Izreen pada 8 Ogos lalu. Malah, isteri pertamanya Intan hanya mengetahui mengenai pernikahan tersebut kira-kira dua minggu lalu. Izreen bagaimanapun masih lagi berdiam diri meskipun pelbagai cacian dilemparkan kepada dirinya.