Pelakon Sharifah Sakinah sekali lagi mencuri perhatian apabila tampil bersuara mengenai pempengaruh kecergasan, Tareq Fit yang kebelakangan ini sering dikaitkan dengan kandungan berbaur isu halal dan haram, khususnya melibatkan golongan selebriti.
Menerusi satu temu bual dalam video yang dikongsikan oleh f8Buzz, Sakinah secara terbuka menyatakan pandangannya terhadap pendekatan Tareq yang dilihat semakin cenderung ke arah negatif.
“Tareq, anda perlu sembuhkan emosi dan minda. Apabila bercakap tentang kebencian, sebenarnya anda bekerja dengan syaitan,” katanya secara terbuka.
Menariknya, Sakinah mengakui dia sebenarnya pernah mengikuti Tareq di media sosial sebelum ini. Malah, dia sering mendapatkan inspirasi daripada kandungan berkaitan nutrisi dan amalan pemakanan sihat yang dikongsikan oleh pempengaruh tersebut.
Bagaimanapun, perubahan arah kandungan Tareq sejak kebelakangan ini mengejutkan dirinya. Menurut Sakinah, pendekatan yang terlalu keras dan dipenuhi unsur kebencian bukan sahaja tidak membantu, malah boleh memberi kesan kepada kesihatan secara keseluruhan.
“Sebenarnya hal kesihatan ini juga datang dari mental. Bila kita serang seseorang dengan kebencian, maka ada sesuatu yang silap dengan dirinya,” tambahnya lagi.
Luahan Sakinah itu kini menjadi bualan ramai, lebih-lebih lagi apabila isu melibatkan pempengaruh yang lantang bersuara tentang agama sering mengundang pelbagai reaksi netizen.
Ada yang bersetuju dengan pandangan Sakinah, namun tidak kurang juga yang mempertahankan Tareq atas alasan kebebasan bersuara.
Apa pun, isu ini membuka satu lagi perbincangan mengenai batas dalam menyampaikan pandangan, terutama apabila ia melibatkan sensitiviti agama dan cara penyampaian di media sosial.
Untuk rekod, nama Tareq Fit bukanlah bermula daripada dunia hiburan. Dia bukan pelakon atau penyanyi, namun namanya kerap menjadi perhatian sejak aktif bercakap di hadapan kamera mengenai isu-isu sensitif di media sosial.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
