Dunia seni tanah air kehilangan sebutir lagi bintang apabila seniwati legenda, Maria Menado, meninggal dunia pada jam 12.25 tengah hari, hari ini, pada usia 94 tahun.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua di sisi ahli keluarga di sebuah pusat perubatan swasta.

Mengesahkan perkara itu, menantu Allahyarham, Sairul Amar Ayob berkata, ibu mertuanya sebelum ini dimasukkan ke pusat perubatan pada 14 April lalu.
“Allahyarham Datuk Seri Maria Menado menghembuskan nafas terakhir dengan tenang,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Menurutnya, jenazah Allahyarham masih berada di hospital dan akan dibawa pulang ke kediaman keluarga di Bukit Jelutong, Selangor bagi memberi peluang kepada ahli keluarga, sahabat dan kenalan memberikan penghormatan terakhir.
Tambah beliau, selepas itu jenazah akan dibawa ke Masjid Bukit Damansara untuk urusan pengurusan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
Dilahirkan sebagai Liesbet Dotulong pada 2 Februari 1932 di Minahasa, Sulawesi Utara, Allahyarham merupakan antara bintang filem Melayu paling berpengaruh sekitar era kegemilangan industri pada 1950-an hingga awal 1960-an.

Beliau mula mencipta nama selepas berhijrah ke Singapura dan menyertai Malay Film Productions serta Cathay-Keris Film Productions sebelum muncul sebagai pelakon wanita utama pada ketika itu.
Nama Maria Menado melonjak menerusi watak utama dalam filem Pontianak (1957) yang dianggap antara filem seram Melayu terawal, sekali gus menjadikannya ikon awal genre berkenaan.
Pada kemuncak kerjayanya, Allahyarham turut menerima pengiktirafan antarabangsa termasuk gelaran “Wanita Terjelita Malaya” oleh Times Magazine serta “Wanita Berpakaian Paling Menarik di Asia Tenggara” oleh United Press International.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
