Kejadian gangguan ketenteraman awam di kawasan Debayu, Setia Alam kembali menjadi perhatian apabila penduduk mendakwa individu yang sama sekali lagi mencetuskan kekecohan dengan membakar bunga api pada awal pagi.
Sebelum ini, insiden melibatkan penggambaran perkahwinan dengan latar percikan bunga api telah mencetuskan rungutan ramai. Namun, situasi dilihat berulang apabila individu dipercayai kembali ke lokasi sama dengan aksi yang lebih ekstrem.

Difahamkan, kejadian terbaharu berlaku sekitar jam 2 pagi semalam, dengan rakaman menunjukkan bunga api dibakar dalam tempoh yang agak lama sehingga menghasilkan bunyi letupan kuat yang mengejutkan penduduk sekitar.
“Gangguan bunyi mercun pukul 2 pagi di Debayu Setia Alam buat kali kedua. Sebelum ni kes pengantin, ini hari dia datang balas dendam balik ke?,” kata seorang penduduk.
Lebih membimbangkan, terdapat juga sisa bungkusan bunga api yang ditinggalkan di lokasi kejadian, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai sikap tidak bertanggungjawab pihak terlibat.
Penduduk mendakwa ini merupakan kali kedua kejadian berlaku, namun kali ini dipercayai mempunyai unsur balas dendam selepas teguran diberikan sebelum ini.
Sehubungan itu, mereka berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas memandangkan insiden berkenaan jelas mengganggu ketenteraman awam.
Dalam masa sama, keadaan menjadi semakin tegang apabila individu yang didakwa terlibat, dipercayai pihak pengantin, tampil mempertahankan diri dan berbalas komen dengan penduduk serta netizen di platform Threads.


Tindakan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk komen berunsur sinis dan ‘savage’ yang dilihat cuba menegakkan situasi susulan insiden berkenaan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
