Nama Aliff Aziz sememangnya tidak pernah lekang daripada kontroversi sejak awal pembabitannya dalam industri hiburan.
Antara episod paling mencabar dalam hidupnya berlaku dua tahun lalu apabila terpalit kes khalwat yang akhirnya membawa kepada keruntuhan rumah tangganya bersama Bella Astillah buat kali kedua pada Mac 2024.
Susulan kecaman hebat yang diterima ketika itu, Aliff atau nama lengkapnya Mohammad Aliff Aziz memilih untuk menjauhkan diri daripada perhatian media sosial bagi mencari ruang untuk diri sendiri.
Namun, memasuki tahun 2026, kehidupannya dilihat kembali stabil apabila dia mula aktif semula dalam industri hiburan dengan beberapa projek baharu di Malaysia.
Ketika ditemui, Aliff berkongsi bahawa kini dia lebih banyak meluangkan masa dengan aktiviti sihat selain memberi tumpuan kepada aspek kerohanian bagi mendapatkan ketenangan.
“Saya banyak luangkan masa di gimnasium (gim), bersama keluarga dan fokus pada kerja. Selain itu, saya juga cuba dekatkan diri semula dengan agama.”
“Ini bukan saya nak berdakwah cuma itu yang buat saya rasa tenang sekarang. Saya sedar banyak kekurangan dalam diri saya, tak ada manusia yang sempurna,” katanya kepada HibGlam.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Kalau Cinta itu mengakui masih menerima kecaman daripada segelintir pihak, termasuk mesej peribadi yang menyentuh soal keluarga.
“Fasal komen atau kecaman orang, bohonglah kalau cakap tak nampak. Ada yang hantar DM (mesej), komen mengenai keluarga dan mak saya.”
“Tapi saya ada satu mindset (pemikiran), kita semua akan dipertanggungjawabkan atas apa yang kita buat. Saya hanya fokus untuk perbaiki diri sendiri,” ujarnya.
Kini, Aliff dilihat lebih tenang dan memilih untuk terus memperbaiki diri tanpa terlalu mempedulikan pandangan negatif, demi meneruskan kehidupan yang lebih baik.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
