Abang kepada wanita yang cedera parah dipercayai akibat dipukul suami meluahkan rasa syukur apabila suspek akhirnya ditahan dan dibawa ke mahkamah bagi proses reman hari ini, memetik Kosmo Online!
Lelaki berusia 45 tahun itu berkata, dia bersama seorang lagi adik hadir ke Kompleks Mahkamah Sungai Petani untuk melihat sendiri suspek yang sebelum ini diburu pihak berkuasa.

“Saya hadir hari ini sebab nak tengok suspek, nak tengok betulkah dia. Itu yang penting sebenarnya, saya bukan datang sebab emosi.”
“Saya bersabar kerana Allah sudah menentukan semua ini. Saya serah siasatan kes ini kepada pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui di pekarangan luar Kompleks Mahkamah Sungai Petani.
Menurutnya, adik perempuannya yang berusia 39 tahun kini masih menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim selepas mengalami kecederaan serius akibat kejadian tersebut.
“Adik memang trauma akibat kejadian itu, namun saya tengok keadaannya ketika ini sedikit baik. Alhamdulillah ramai yang mendoakan adik supaya dia tabah dan lebih bersemangat,” ujarnya.
Sementara itu, peguam pemerhati keluarga mangsa, Jamaluddin Ali Mohd. Jobran memaklumkan kecederaan yang dialami mangsa agak teruk termasuk patah pada beberapa bahagian badan seperti tulang rusuk dan pinggul.
(VIDEO) Lelaki Puk*l Isteri Hingga Keguguran Ditangkap, Tiba Di Mahkamah Sungai Petani Untuk Direman
“Saya percaya siasatan ini dapat diteruskan dengan lebih menyeluruh kerana mangsa sendiri ada membuat laporan polis,” katanya.
Dalam masa sama, pihak pendakwaan turut membangkitkan isu kematian janin dalam kandungan mangsa termasuk lokasi pengebumian semasa prosiding reman dijalankan.
Difahamkan, siasatan lanjut berhubung perkara itu akan diteruskan selepas ini.
Terdahulu, Mahkamah Majistret Sungai Petani membenarkan suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes memukul isteri sehingga keguguran dan cedera parah di Ambangan Heights, Khamis lalu.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
