Seorang saksi kejadian kemalangan maut di Jalan Losong Feri, Kuala Terengganu pada Selasa lalu meluahkan rasa sebak selepas menjadi antara individu terawal membantu mangsa di lokasi kejadian.
Norharizan Hassan, 48, berkata ketika kejadian, dia tidak sempat memikirkan perkara lain selain membantu mangsa kerana menganggap remaja terbabit seperti anaknya sendiri.
“Waktu kejadian saya dah tak fikir apa lagi, saya anggap mendiang seperti anak sendiri, sebab itu saya beranikan diri untuk tutup kepalanya yang terputus.”
Dalam kejadian kira-kira jam 3.36 petang itu, mangsa, Wah Han Keong, 18, yang merupakan penumpang hadapan sebuah van disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, manakala dua individu lain dilaporkan cedera.
Menceritakan detik cemas itu, Norharizan yang juga peniaga di kawasan berkenaan berkata, dia turut cuba menenangkan bapa mangsa yang berada dalam keadaan terkejut selepas insiden berlaku.

“Waktu berbual bersama keluarga, bapa mendiang ada cerita anak dia yang meninggal anak sulung daripada dua beradik dan ada seorang adik perempuan.
“Sementara tunggu sambung belajar, mendiang bekerja sambilan untuk membantu keluarga,” katanya.
Menurut Norharizan, dia tersentuh apabila mendengar luahan bapa mangsa yang kehilangan satu-satunya anak lelaki dalam sekelip mata.
“Walaupun diuji dengan dugaan sebegitu hebat, dia masih kelihatan tenang dan mampu mengawal emosi,” katanya.
Dalam kejadian tersebut, mendiang Han Keong bersama bapanya, Wah Tee Tun, 46, dalam perjalanan dari rumah mereka di Manir menuju ke pusat bandar sebelum terbabit dalam insiden tragis itu. – SINAR HARIAN
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
