Situasi melibatkan kapal Malaysia di Selat Hormuz terus menjadi perhatian apabila salah satu daripada tujuh kapal yang membawa bahan api dilaporkan mengalami kerosakan dan tidak dapat berlepas dari pelabuhan, lapor Berita Harian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa setakat ini, dua kapal telah berjaya melepasi laluan berkenaan dengan satu daripadanya sudah tiba di Pengerang, Johor, manakala sebuah lagi kini sedang menghampiri perairan negara.
Dalam masa sama, kerajaan masih memantau baki lima kapal lain yang belum melepasi Selat Hormuz, susulan ketegangan geopolitik yang sedang berlaku di Asia Barat.
“Satu kapal sudah sampai (di Pengerang, Johor), satu lagi hampir sampai dan masuk dalam perairan Malaysia, maknanya (ada) dua (kapal), yang lain itu dengan keputusan baharu walaupun sudah lepas, tetapi kita masih memantau.”
“Dari segi kelulusan, memang Iran memberi kelulusan kepada tujuh kapal kita (melepasi Selat Hormuz), tetapi satu (kapal) mempunyai masalah kerosakan hingga tak boleh berlepas dari pelabuhan.”
Sebelum ini, media melaporkan bahawa dua kapal Malaysia sedang dalam perjalanan pulang, manakala lima lagi masih terkandas di Selat Hormuz akibat ketegangan yang berlarutan di rantau tersebut.
Perkembangan ini turut dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet, seperti dimaklumkan oleh Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil.
Mengulas lanjut, Anwar berkata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mewakili Malaysia dalam sidang khas antarabangsa yang dianjurkan oleh United Kingdom dan Perancis bagi membincangkan situasi semasa di Selat Hormuz.
“Disebabkan keadaan terbaru ini, kita ada hadapi masalah sedikit,” katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya, hari ini.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di abwa.
