Bekas suami kepada wanita koma, Jahidah Nordin iaitu Rosmaini Abdul Raof dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan memukul isterinya sehingga cedera parah pada Mac dan April lalu.
Rosmaini, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat.
Mengikut pertuduhan pertama, Rosmaini didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya, Nurfitri Moktar, 39, dengan menggunakan kerusi plastik dan getah paip di sebuah rumah di Bandar Amanjaya kira-kira jam 5 petang, 29 Mac lalu.
Sumber : Kosmo Online / Shahir Noordin Bagi pertuduhan kedua pula, bapa kepada 11 anak itu dituduh melakukan kesalahan sama terhadap mangsa menggunakan penyangkut baju dan besi penyangkut langsir di rumah sama kira-kira jam 9 pagi, 23 April lalu.
Pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata atau objek.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat. Bagi kesalahan terhadap pasangan, hukuman penjara boleh dikenakan dua kali ganda daripada tempoh maksimum di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim, manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ruzana Abdul Rahim.
Dalam prosiding itu, Khairul Anuar membantah sebarang jaminan diberikan kerana Rosmaini kini berstatus banduan dan sedang menjalani hukuman penjara. Beliau juga memaklumkan tertuduh sedang berdepan perbicaraan kes lain bagi kesalahan hampir sama di Mahkamah Majistret Alor Setar.
Rosmaini Disiasat Berkaitan Kes Tanam Janin Usia 12 Minggu – KP Kedah
Ruzana kemudian memohon agar jaminan dibenarkan dengan syarat, atas alasan tertuduh menanggung dua isteri dan 11 anak yang masih bersekolah.
Bagaimanapun, Hakim Najwa tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 16 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan perubatan.
Dalam prosiding sama, hakim turut bertanya mengenai tangan kiri tertuduh yang berbalut dan sama ada dia sudah mendapatkan rawatan. Rosmaini memaklumkan dia sudah menerima rawatan dan mendakwa tangannya mengalami kecederaan ketika tangkapan dilakukan sebelum ini.
Sementara itu, abang mangsa turut dilihat berada dalam kamar mahkamah bagi mengikuti prosiding pertuduhan tersebut.
Rosmaini ketika ini sedang menjalani hukuman penjara 14 tahun di Penjara Kajang bagi kes mencederakan bekas isterinya, Jahidah, yang ketika kejadian sedang hamil sehingga koma pada 2021.
Hukuman tersebut dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Isnin lalu. Mahkamah turut memerintahkan Rosmaini membayar pampasan RM25,000 kepada Jahidah melalui ahli keluarga serta penjara enam bulan sekiranya gagal berbuat demikian.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
h