Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun didakwa menjadi mangsa jenayah selepas dipercayai dikurung dan didera oleh seorang lelaki dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bukit Kemuning, Seksyen 32, Shah Alam semalam.
Difahamkan, kejadian bermula sekitar jam 8 pagi apabila suspek dikatakan memperdaya mangsa dengan menawarkan pakej internet telefon bimbit sebelum mengajaknya ke rumah.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol, suspek turut meminta mangsa membantu mengangkat barang di dalam rumah sebelum kejadian berlaku.
“Bagaimanapun, tawaran itu bersyarat dengan mangsa perlu membantu mengangkat barang di dalam rumah suspek.
“Mangsa kemudiannya telah diikat kaki dan tangan serta disyaki diliwat oleh suspek,” katanya.
Mangsa kemudian didakwa ditinggalkan bersendirian dalam keadaan tangan dan kaki terikat sebelum berjaya membuka ikatan tersebut.
Remaja itu dikatakan menjerit meminta pertolongan dari tingkap bilik sebelum jeritannya didengari jiran berhampiran yang terus membantu menyelamatkannya sekitar jam 11.15 pagi.
Pihak polis kemudiannya dihubungi dan siasatan segera dijalankan.
Menurut Ramsay, identiti suspek telah dikenal pasti dan usaha memburunya sedang giat dijalankan.
“Suspek telah dikenalpasti dan usaha mengesan saspek sedang giat dijalankan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 342, 377C dan 323 Kanun Keseksaan.”
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kejadian ini bolehlah menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Mohamad Sabri Abd. Rani ditalian 017-2892628,” katanya.
Terdahulu, rakaman CCTV memaparkan suspek bersama mangsa turut tular di media sosial dan mengundang kebimbangan ramai. – KOSMO ONLINE
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
