Pelakon Nadzmi Adhwa meluahkan rasa kecewa apabila isterinya, Ardell Aryana masih menjadi sasaran kecaman netizen meskipun sudah kembali daripada misi kemanusiaan.
Luahan tersebut dikongsikan Nadzmi menerusi Threads dengan nada sinis, namun jelas menggambarkan rasa terkilan seorang suami terhadap kritikan yang terus dilemparkan kepada isterinya.
“Lah ingat bini aku dah balik dah okay, tak puas hati juga ke? Pergi salah, balik salah. Ikutlah, Ambillah dunia ni ya. Yela korang je lah betul. Baiklah saya salah, Alhamdulillah,” tulisnya.
Kenyataan itu dibuat selepas Ardell sebelum ini dilaporkan berlepas ke Barcelona, Sepanyol pada 5 April lalu bagi menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 ke Gaza.

Bagaimanapun, penyertaan kali kedua Ardell dalam misi tersebut sekali lagi mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial, termasuk pihak yang mempertikaikan keputusannya.
Dalam masa sama, terdapat juga netizen yang tampil memberikan sokongan kepada pasangan itu dan meminta Nadzmi supaya terus bersabar serta tidak melayan kecaman.
Namun, ada juga yang kurang bersetuju dengan tindakan Ardell menyertai misi tersebut buat kali kedua kerana bimbang akan keselamatannya, lebih-lebih lagi selepas pengalaman mencabar yang pernah dilaluinya sebelum ini.
Untuk rekod, Ardell pernah mengalami kecederaan ketika menyertai misi kemanusiaan terdahulu. Difahamkan, dia mengalami koyakan pada bahu, tekanan darah rendah serta beberapa kecederaan lain selepas ditahan tentera Israel.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
