Seorang pendakwah bebas direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjumlah kira-kira RM12.3 juta.
Perintah reman sehingga 26 April itu dikeluarkan Majistret Sara Afiqah Zulkifli selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Seremban, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira pukul 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan.
“Siasatan awal mendapati suspek yang juga merupakan pengerusi NGO tersebut disyaki melakukan perbuatan tersebut pada September 2022 hingga kini.”
“Suspek dipercayai telah menyalahgunakan jawatannya dan bersubahat bersama dua ahli jawatankuasa yang lain dengan memindahkan wang berjumlah kira-kira RM12.3 juta ke dalam akaun bank miliknya dan lapan lagi syarikat yang juga miliknya,” katanya.
Susulan siasatan, SPRM Negeri Sembilan turut membekukan 15 akaun bank melibatkan tiga akaun persendirian, tiga akaun NGO dan sembilan akaun syarikat dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM16.5 juta.
Dalam masa sama, pelbagai aset turut disita termasuk wang tunai dalam mata wang tempatan dan asing, tiga jam tangan bernilai kira-kira RM5,000, tiga beg tangan (RM3,000) serta lima gelang tangan bernilai sekitar RM26,000.
Turut dirampas ialah sebentuk cincin bernilai kira-kira RM2,000, satu rantai (RM7,000) serta 51 keping emas seberat 1 gram dengan nilai sekitar RM31,000.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – Kosmo Online
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
