Siasatan terkini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan dana kira-kira RM230 juta melibatkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dilaporkan tidak membabitkan sumber daripada mana-mana institusi zakat di negara ini, memetik Kosmo Online.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, hasil siasatan awal mendapati dana tersebut diperoleh daripada pelbagai sumber, namun tidak sampai kepada golongan yang sepatutnya menerima bantuan.

“NGO ini menerima dana sumbangan daripada pelbagai pihak dan sumber termasuklah komisen yang diperolehi daripada kutipan tertentu untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan.”
“Bagaimanapun, dana itu tidak sampai ke tujuan yang sepatutnya, sebaliknya ada dalam kalangan mereka tidak bertanggungjawab menyeleweng dana untuk kepentingan peribadi termasuk membeli aset-aset mewah,” katanya.
Menurut beliau, siasatan masih diteruskan dengan skop yang diperluaskan bagi mengenal pasti pihak lain yang mungkin terlibat.
(Kes Seleweng Zakat RM230 Juta) : Timbalan Pengerusi NGO, AJK Direman 4 Hari
“SPRM komited untuk terus memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam setiap proses semakan dan siasatan dijalankan selaras dengan prinsip integriti dan tadbir urus baik,” katanya lagi.
Terdahulu, SPRM menahan dua individu termasuk seorang timbalan presiden NGO berkenaan yang kini direman selama empat hari sehingga 25 April bagi membantu siasatan.
Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50 dan 60-an itu ditahan dalam operasi di sekitar Lembah Klang antara jam 3 hingga 5 petang.
Dalam operasi sama, SPRM turut menyita 18 kenderaan mewah termasuk Porsche dan Mercedes, selain rumah serta hartanah bernilai kira-kira RM11 juta.
Sebanyak 33 akaun bank turut dibekukan melibatkan jumlah kira-kira RM120 juta bagi membantu siasatan lanjut.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
