Peniaga, Rosmaini Abdul Raof yang sebelum ini diperintah menjalani hukuman penjara 14 tahun kerana mencederakan bekas isterinya hingga koma, dijangka berdepan pertuduhan hampir sama di Mahkamah Sungai Petani, Kedah pada Khamis ini.
Pertuduhan tersebut dipercayai membabitkan insiden yang menimpa isteri ketiganya yang dilaporkan mengalami keguguran.

Bagaimanapun, peguam Kamal Hisham Ja’afar memaklumkan pihaknya tidak lagi akan mewakili lelaki berusia 43 tahun itu dalam prosiding akan datang.
“Sebelum ini, atas dasar profesionalisme selaku seorang peguam, saya akur untuk membela Rosmaini sehingga ke peringkat terakhir di Mahkamah Rayuan namun perkara itu disalahtafsir oleh masyarakat sehingga sanggup memburukkan barisan peguam.
“Sedangkan, saya mewakili Rosmaini secara percuma iaitu ‘pro bono’, selepas isteri pertama dan anak-anaknya merayu meminta pertolongan.
“Jadi, selesainya rayuan ini, saya tidak mewakili Rosmaini lagi, termasuk kes-kes lain pada masa hadapan,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Kamal Hisham, Rosmaini kini ditahan di Penjara Kajang dan akan dibawa ke Kedah dalam masa terdekat bagi menghadapi pertuduhan tersebut.
Katanya, Rosmaini dijangka kekal ditahan sekurang-kurangnya sehingga Rabu sebelum dibawa ke utara tanah air.
Rosmaini Disiasat Berkaitan Kes Tanam Janin Usia 12 Minggu – KP Kedah
Mengulas mengenai keputusan Mahkamah Rayuan, Kamal Hisham berkata Rosmaini menerima hukuman itu dengan hati terbuka, namun masih menafikan kes yang menimpa bekas isterinya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Rosmaini tidak akan memfailkan semakan ke Mahkamah Persekutuan.
Pada Isnin, Mahkamah Rayuan menaikkan hukuman penjara terhadap Rosmaini daripada 10 tahun kepada 14 tahun.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan supaya tertuduh dikenakan hukuman maksimum.
Selain hukuman penjara, Rosmaini turut diperintah membayar pampasan sebanyak RM25,000 kepada Jahidah, 48, melalui wakil keluarga yang menjaganya.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
