Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa terdapat segelintir penerima bantuan yang terlalu memilih meskipun bantuan diberikan secara percuma.
Menerusi perkongsian di media sosial, Zuraini merujuk kepada satu kes melibatkan seorang asnaf yang memohon bantuan bagi pesakit kanser.

Menurutnya, pada awalnya pihak berkenaan meminta kerusi roda boleh laras elektrik yang dianggarkan bernilai sekitar RM6,000 hingga RM7,000.
Bagaimanapun, selepas meneliti keadaan pesakit yang merupakan kanak-kanak berusia 14 tahun dan berada pada tahap paliatif, pihak CSM mencadangkan kerusi roda manual yang jauh lebih murah iaitu sekitar RM600.
“Aku hantar dua gambar nak tunjuk contoh. Gambar aku ambil dekat Facebook sebab CSM pernah bagi kepada pesakit kanser.
“Dua gambar model manual dengan dua model berlainan. Mak tu hantar mesej siap memilih nak gambar nombor satu.”
Zuraini mengakui situasi tersebut membuatkan dirinya tertekan sehingga hilang sedikit semangat untuk membantu pada ketika itu.


“Aku dah stres. Macam tak berapa ikhlas dah nak membantu.”
Perkongsian itu kemudian meraih perhatian ramai, dengan beberapa netizen turut berkongsi pengalaman hampir sama berdepan individu yang terlalu memilih ketika menerima bantuan.
“Faham sangat. Jenis macam ni kan, mentaliti mereka ‘Dah orang nak bagi tu kita minta betul-betul punya. Alang-alang kan…’. Kejap lagi kalau cakap lebih-lebih tiba-tiba la pura-pura jadi mangsa.”
Seorang lagi pengguna turut berpendapat penerima bantuan sepatutnya lebih bersyukur apabila ada pihak sudi menghulurkan pertolongan.
“Orang nak bagi percuma tu dah kira syukur. Ni jenis orang yang bagi betis nak paha. Geram pula baca cerita dia ni.”
Malah, ada juga yang mendakwa pernah berdepan situasi penerima bantuan memberi pelbagai alasan meskipun bantuan sudah diusahakan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
