Kemelut rumah tangga pelakon, Linda Hashim dan suaminya, Beego nampaknya masih belum menemui jalan penyelesaian apabila prosiding perbicaraan pengesahan lafaz taklik yang berlangsung hari ini ditangguhkan.
Ketika ditemui, Linda atau nama lengkapnya Norhazlinda Hashim, 42, mendakwa Beego enggan melafazkan cerai meskipun perkara itu telah diajukan oleh hakim ketika prosiding berlangsung.
“Tadi sebenarnya ada soalan juga daripada hakim untuk lafazkan, tapi dia (Beego) tetap tak nak beri kerjasama dan tak nak lafaz juga. Dia terus defend untuk proses seterusnya.”
“Tak ada (beri alasan), dia memang cakap dia tak nak lafaz hari ini. Dia nak teruskan kes, panjangkan lagi perbicaraan kami ni.”
Linda berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Isnin.
Menurut Linda, prosiding hari ini turut mengalami kelewatan selepas peguam pihak defendan dikatakan hadir lambat ke mahkamah.
Sementara itu, Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 46, berkata dia hadir ke mahkamah sebagai pihak defendan dan menghormati proses perundangan yang sedang berjalan.
Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menangguhkan prosiding pengesahan lafaz taklik yang difailkan Linda terhadap Beego selepas pihak defendan baru sahaja mengemukakan pembelaan.
Sebelum ini, pasangan tersebut pernah bercerai pada 27 Mac 2023 sebelum kembali rujuk pada 9 April tahun sama. Susulan itu, Linda turut menarik balik tuntutan nafkah serta hak penjagaan tiga anak mereka.
Bagaimanapun, hubungan mereka didakwa kembali bergolak sehingga berlaku perceraian kali kedua beberapa bulan selepas rujuk, sebelum pasangan itu kembali bersama tidak lama kemudian.
Untuk rekod, Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata perempuan yang kini berusia 12, 11 dan tujuh tahun.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
