Seorang lelaki berkongsi pengalaman sendiri terjatuh ke dalam longkang sedalam kira-kira 12 meter di belakang rumahnya di Taman Melaka Perdana, Ayer Keroh, Melaka hari ini.
Dalam kejadian sekitar jam 11 pagi itu, mangsa berusia 32 tahun dipercayai terpijak penutup longkang konkrit sebelum terjatuh ke dalam longkang yang terletak di kawasan semak di atas bukit belakang rumahnya.

Memetik laporan Kosmo!, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 10.58 pagi.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil bersama bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurut mangsa, dia dipercayai terperangkap kira-kira 3 jam di dalam longkang sebelum disedari orang awam yang kemudiannya menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.

“Operasi menyelamat dijalankan menggunakan teknik hauling dengan bantuan peralatan sked stretcher bagi membawa mangsa naik ke atas dengan selamat.”
“Mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke hospital selepas mengalami kecederaan pada kaki kanan.”
Operasi menyelamat itu melibatkan seramai 14 anggota bomba bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
Tambahnya, operasi berjaya dikawal pada jam 12.41 tengah hari sebelum tamat sepenuhnya kira-kira jam 1.06 petang.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
