Jabatan Agama Islam Selangor tampil memberikan penjelasan berhubung Surat Edaran bertarikh 7 Mei 2026 mengenai ketetapan tidak membenarkan sambutan Hari Guru diadakan di peringkat sekolah dan daerah di bawah pentadbirannya bagi tahun ini.
Menurut JAIS, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor semasa, termasuk keperluan mengutamakan sumber kewangan kepada pembangunan profesionalisme guru serta menjaga kebajikan ibu bapa yang berdepan cabaran ekonomi global.
Meskipun sambutan di peringkat sekolah ditiadakan, Pengarah JAIS, Dato’ Haji Mohd Shahzihan bin Ahmad menegaskan bahawa JAIS, Majlis Agama Islam Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor tetap menghargai jasa serta sumbangan para guru dalam mendidik anak bangsa.
Sebagai tanda pengiktirafan, Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Selangor akan diadakan pada 21 Mei 2026.
Majlis tersebut melibatkan peruntukan melebihi RM200,000 daripada MAIS dan Kerajaan Negeri Selangor, yang akan diberikan dalam bentuk tunai serta geran kepada tokoh guru dan sekolah-sekolah yang menunjukkan kecemerlangan dalam pelbagai kategori.
Menurut kenyataan itu, JAIS mahu memastikan sumber kewangan yang ada dimanfaatkan secara lebih strategik, dengan memberi fokus kepada peningkatan profesionalisme keguruan serta program yang dapat meningkatkan kualiti akademik dan sahsiah pelajar.
Dalam masa sama, ketetapan tersebut juga selaras dengan saranan kerajaan agar rakyat berbelanja secara berhemah dan bijaksana, terutama dalam keadaan geopolitik dunia yang tidak menentu.

JAIS turut menyahut titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang menyeru rakyat agar mengutamakan keperluan penting dan meminimumkan pembaziran.
Selain itu, JAIS memaklumkan pihaknya peka terhadap beban kewangan ibu bapa atau penjaga. Tradisi menyediakan hadiah kepada guru yang kadangkala melibatkan kos tinggi dilihat perlu dihentikan buat masa ini bagi mengelakkan tekanan kewangan kepada keluarga.
Bagaimanapun, larangan ini bukan bersifat kekal dan akan dipertimbangkan semula apabila keadaan ekonomi serta situasi semasa kembali stabil.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
