Seorang individu di platform Threads dikenali sebagai Mahenk Lesmana mencuri perhatian ramai selepas berkongsi pengalaman melucukan berkaitan Sultan Brunei, Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah.
Menerusi hantarannya, Mahenk mendedahkan bahawa dia pada awalnya tersalah sangka Sultan Brunei sebagai seorang bapa daripada golongan sederhana ketika melihat sekeping foto majlis graduasi.
Menurut Mahenk, foto tersebut memaparkan seorang anak perempuan sedang memegang tangan bapanya. Melihat penampilan lelaki itu yang cukup ringkas ketika menghadiri majlis graduasi anaknya, Mahenk mengakui dia sempat berasa simpati.

“Apabila saya melihat foto itu, saya berasa kasihan pada lelaki ini kerana pakaiannya begitu ringkas ketika menghadiri majlis graduasi anaknya.”
Namun, sangkaannya ternyata meleset selepas mengetahui identiti sebenar lelaki tersebut ialah Sultan Brunei.
Perkara itu membuatkan Mahenk berseloroh bahawa dia akhirnya lebih simpati kepada dirinya sendiri selepas mengetahui siapa individu berkenaan.
“Selepas saya mengetahui siapa dia, saya berasa kasihan pada diri sendiri.”
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial turut terhibur dengan perkongsian tersebut. Ada juga yang memaklumkan bahawa Sultan Brunei sememangnya dikenali dengan penampilan sederhana dalam beberapa acara tidak rasmi.
Untuk makluman, Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah telah menamatkan pengajian di Jerudong International School (JIS).
Selain Sultan Brunei, kakandanya iaitu Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel turut hadir bagi meraikan hari bersejarah tersebut.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
