Kebosanan duduk di rumah semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini? Apa kata anda mengimbau kenangan lama dengan marathon pelbagai filem komedi romantik Melayu.
Untuk senangkan anda, kami dah kumpulkan senarai 11 filem genre berkenaan yang popular. Pasti ada antaranya yang anda dah layan semasa awal tayangannya kan? Jangan risau kerana semuanya memang best, anda pasti tak kebosanan apabila menonton kerana lawaknya yang ‘evergreen’.
1. Mr. Cinderella (2002)
Pelakon: Yusry, Erra Fazira
Mengisahkan seorang lelaki yang menyelamatkan seorang wanita tanpa mengetahui bahawa orang yang diselamatkan itu sebenarnya ialah Puteri Megawati, puteri mahkota negara Indrapuri Darul Kasih. Bermula dari situ, wanita berkenaan memulakan pencarian ‘Mr. Cinderella’ yang menyelamatkan nyawanya dengan sebelah kasut yang tertinggal ketika kejadian itu.
2. Cinta Kolestrol (2003)
Pelakon: Yusry, Erra Fazira
Disebabkan oleh perjanjian orang tua semasa mereka kecil, seorang lelaki berbelah bagi untuk disatukan dengan wanita yang sudah lain rupanya. Menolak dengan keras, wanita itu kemudiannya menghilangkan diri sebelum muncul pula seorang wanita lain dengan rupa yang sama namun dengan tubuh badan lebih ramping. Lelaki itu mula tidak keruan dan berusaha keras untuk menawan hati wanita tersebut meskipun tidak diendahkan. Apakah kesudahan pada cerita mereka dan adakah wanita itu ialah wanita yang sama dengan yang asalnya?
3. Laila Isabella (2003)
Pelakon: Rosyam Nor, Nasha Aziz
Filem ini mengisahkan tentang seorang gadis biasa, lasak dan kasar ala tomboy yang gemar bermain pool dan menaiki skuter. Dia berkawan rapat dengan seorang lelaki yang sebenarnya dalam diam menyimpan perasaan kepadanya. Rapat kerana bekerja bersama-sama namun keduanya kerap kali bergaduh. Adakah perhubungan itu akan berubah pada akhirnya?
4. Kuliah Cinta (2004)
Pelakon: Yusry, Erra Fazira
Persahabatan dua sahabat berlainan jantina mula keruh apabila si lelaki mula terpikat dengan junior baru di fakulti mereka. Acap kali disisihkan, si gadis mula memendam perasaan dengan perubahan rakan karibnya. Bagi melupakan segalanya, gadis itu kemudiannya nekad untuk menyertai satu program pertukaran pelajar ke Australia.
5. Lady Boss (2005)
Pelakon: Yusry, Ning Baizura
Mengisahkan tentang seorang bos wanita yang garang dan angkuh namun berubah apabila seorang kakitangan lelaki masuk bekerja di tempat yang sama. Sering menaikkan darahnya, namun perhubungan mereka mula berubah pada akhirnya.
6. Gol & Gincu (2005)
Pelakon: Fazura, Ashraf Sinclair
Ia membawa kisah seorang gadis manja yang meminati fesyen mula menyertai aktiviti lasak iaitu futsal bagi memenangi semula hati bekas kekasihnya. Bukan semudah yang disangka, gadis itu mempelajari pelbagai perkara yang melibatkan persahabatan, cinta dan prasangka terhadap wanita.
7. Pisau Cukur (2009)
Pelakon: Fazura, Aaron Aziz
Dua orang gadis pisau cukur bertembung dengan tiga orang Datuk, tiga orang isteri Datuk, dua orang anak Datuk, seorang detektif dan seorang peminat setia mereka. Di dalam perjalanan di atas sebuah kapal percutian mewah, terjadi sebuah insiden yang pelik lantas bermulalah episod mencari siapakah yang memburu dan siapa pula diburu?
8. Syurga Cinta (2009)
Pelakon: Awal Muslim, Heliza Helmi
Sekian lama hidup di luar negara, seorang lelaki mula lupa dengan asal usulnya dan memandang enteng sahaja mengenai hal agama. Setelah pulang ke Malaysia, rakan-rakannya mencabar lelaki itu untuk memikat wanita bertudung sebagai salah satu permainan mereka. Tidak mahu kalah, si lelaki terus cuba mengenali seorang wanita bertudung yang kebetulan menjadi ‘mangsa’ pilihan mereka dan tanpa sedar mula mendalami ilmu agama.
9. Cun! (2011)
Pelakon: Remy Ishak, Maya Karin
Membawa kisah seorang pengacara TV popular (Maya Karin) yang membawa diri ke sebuah perkampungan kecil di Kedah apabila menangkap tunangannya yang juga merupakan seorang selebriti bermain kayu tiga dengan pelakon baru. Dalam mengharungi kehidupan yang asing baginya di desa berkenaan, wanita itu bukan sahaja mula tertawan dengan kedamaiannya malah hatinya turut terpaut kepada seorang lelaki desa.
10. Istanbul Aku Datang! (2012)
Pelakon: Beto Kusyairy, Lisa Surihani
Sanggup ke Istanbul bagi membuktikan kesungguhannya, kehidupan seorang gadis mula bertukar derita dan tanpa arah apabila dia menangkap kekasihnya curang. Pun begitu, ianya tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan perjalanan di tempat pelancongan itu sambil ditemani seorang lagi lelaki yang baru dikenali di sana. Awalnya tegang sahaja namun kedua mereka mula serasi selepas menghabiskan masa bersama.
11. Manisnya Cinta Di Cappadocia (2014)
Pelakon: Shaheizy Sam, Fazura
Tidak mempunyai keinginan untuk bercinta, kehidupan seorang wanita mula berubah apabila bertemu seorang lelaki di Turki. Terbuai dengan kebaikannya, namun semuanya hancur apabila menyedari lelaki itu menipu mengenai latar belakang sebenarnya. Sesak dengan perasaan, dia dihimpit pula dengan permintaan abang ipar yang mahu memulakan hidup dengannya kerana dia yang menjadi ‘ibu’ kepada anak kakaknya selepas meninggal dunia.
Kalau anda masih lagi kebosanan, bolehlah cuba kuiz teka filem Melayu berdasarkan emoji ini. Pasti menguji minda!