Sebanyak 19 bot Global Sumud Flotilla (GSF) dilaporkan mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengejar sebuah kapal yang membawa peralatan berkaitan keperluan tentera Israel di lautan Mediterranean, semalam.
Menerusi perkongsian sukarelawan Malaysia, Zainal Rashid Ahmad (ZRA), tindakan itu dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat mengenai pergerakan kapal tersebut.
Menurutnya, operasi dijalankan menggunakan taktik kepungan dan melintasi kapal sasaran, selain disertai tiupan hon udara serta kibaran bendera Palestin sebagai tanda protes.
“Dua jam mengejar dengan bantuan angin kencang dan bot layar berjaya mencapai kelajuan 8 knot, kami hampiri kapal sasaran dengan protes keras.”
“Ini adalah protes yang kami sedang jalankan. Dengan mengitari kapal yang membawa barangan ke Israel dan ini adalah langkah yang kami laksanakan bersama dengan beberapa lagi kapal GSF.”
Tambah beliau, pelayaran kali ini juga bertujuan meneruskan kesinambungan usaha boikot melibatkan 60,000 pekerja di tiga pelabuhan Itali terhadap kargo senjata ke Israel, sebagaimana yang dilakukan ketika Sumud Flotilla pada September 2025.
“Kita tak mungkin dapat menenggelamkan kapal pro genosida ini. Namun, langkah protes di lautan adalah mewakili suara masyarakat sivil yang mahu genosida segera dihentikan,” tegasnya.
Terdahulu, dilaporkan GSF melaksanakan tindakan langsung dengan menyelaras usaha mengganggu aliran bekalan berkaitan ketenteraan ke Israel.
Menurut kenyataan di media sosial Sumud Nusantara Official, pihaknya tidak akan berdiam diri apabila kapal-kapal yang membawa senjata dan bekalan kepada pihak yang didakwa terlibat dalam jenayah perang melintasi laluan mereka.
“Sebanyak 19 buah kapal GSF sedang mengalihkan laluan MSC Maya dan mengganggu aliran bahan mentah yang digunakan untuk alat perang genosid,” menurut kenyataan tersebut.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
