Detik mendebarkan menyelubungi 278 jemaah haji Malaysia apabila pesawat MH8110 yang dinaiki mereka tiba-tiba dirasai menurun ketika berada di ruang udara Oman, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penumpang.
Seorang jemaah, Nadia Hanis Abdul Samat, 39, berkata suasana dalam pesawat berubah apabila tekanan udara turut bertukar sehingga menyebabkan telinga berbunyi sebelum juruterbang membuat pengumuman penting.

“Ketika itu memang terasa pesawat seperti menjunam sedikit dan keadaan agak mendebarkan. Namun juruterbang segera memaklumkan pesawat perlu mendarat di Oman.
“Walaupun cemas, kami yakin dengan kecekapan juruterbang yang dilihat sangat tenang dan profesional mengendalikan situasi,” katanya kepada Kosmo!.
Nadia Hanis merupakan antara 278 jemaah haji KT051 yang mendarat di Lapangan Terbang Muscat, Oman susulan isu teknikal pada Isnin lalu.
Bagaimanapun, kesemua jemaah dilaporkan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah pada jam 5.33 pagi dari Muscat, semalam.
Terdahulu, ketibaan rombongan jemaah itu disambut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun bersama barisan pengurusan serta petugas Lembaga Tabung Haji (TH).
Menurut Nadia Hanis, dia dimaklumkan bahawa pesawat jenis A330 mempunyai dua enjin dan masih mampu terbang, sekali gus membantu meredakan kebimbangan para jemaah.
“Alhamdulillah, keadaan kembali tenang dan semuanya berada dalam keadaan baik tanpa sebarang masalah,” ujarnya.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
