Susulan kes pergaduhan bersama Lana Nodin dan khabar angin mengatakan beliau telah menipu beberapa wang selebriti yang menyertai sebuah ekspo di Brunei, penyanyi Norshila Amin hari ini mengadakan satu sidang media khas untuk membersihkan namanya.
Norshila yang mengangkat sumpah laknat sebanyak lima kali menafikan beliau melakukan penipuan tersebut. Anak perempuan Norshila juga turut sama mengangkat sumpah laknat.
Bersaksikan Al-Quran, saya dan anak-anak mengangkat sumpah laknat bagi membersihkan nama kami yang telah difitnah. Apa yang saya lakukan ini semata-mata kerana Allah dan sekiranya tidak benar apa kami katakan, kami reda dengan kemungkaran Allah.
Shila juga tidak berpuas hati dengan pengacara Roslan Shah yang telah membuat satu siaran langsung di Facebook berkaitan pergaduhan Shila bersama Lana. Menurut Shila, beliau tidak pernah mengaitkan nama Roslan dalam insiden tersebut.
Saya akui wujud pertengkaran dengan Lana tetapi semasa kami bergaduh baik saya atau Lana langsung tidak menyebut atau mengaitkan namanya. Roslan tiada di tempat kejadian jadi saya tidak tahu siapa dan bagaimana dakwaan pergaduhan kami itu sampai ke telinganya.
Saya sekeluarga ingin memaklumkan kami tidak menuntut permohonan maaf daripada Lana atau Roslan, rakan peniaga dan artis yang menyebar fitnah tersebut selain mereka yang mengutuk dan mengeji. Kami menuntut mereka sama-sama mengangkat sumpah laknat supaya membenarkan kata-kata mereka adalah benar dan sekiranya tidak benar laknat Allah akan jatuh kepada mereka.
Pada masa yang sama, Shila menyangkal dakwaan beliau mengamuk besar sehingga menendang troli seperti yang dikatakan oleh Lana. Shila juga tidak pernah menengking anak saudara Lana yang bekerja di gerai milik pelakon tersebut.
Meskipun bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap Lana atas ftinah yang timbul, Shila bagaimanapun masih lagi ingin membuka ruang untuk menyelesaikan perkara ini dengan baik.