Pengacara dan pelakon, Fikry Ibrahim menegaskan rumah tangganya bersama isteri, Siti Khalizah Alihan berada dalam keadaan baik, sekali gus menepis spekulasi yang mendakwa hubungan mereka sedang bergolak.
Menurut Fikry atau nama penuhnya Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, dakwaan tersebut timbul hanya kerana mereka jarang berkongsi gambar bersama di media sosial.
“Itu semua hanya spekulasi (rumah tangga retak). Semuanya kerana kami tidak berkongsi gambar bersama.”
“Kalau anda semua boleh lihat, kali terakhir saya berkongsi foto dengan ibu. Adakah kerana itu menunjukkan saya bergaduh dengan ibu saya? Tidak juga.”
“Saya dan isteri merasakan lebih baik untuk tidak berkongsi gambar bersama. Saya agak terkejut bila ada lagi khabar angin (kisah rumah tangga) ini. Disebabkan itu saya ketawa saja,” katanya kepada Gempak.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Libang Libu di GSC, Mid Valley, Kuala Lumpur, pada Khamis.
Tambah Fikry, keputusan untuk tidak terlalu berkongsi kemesraan di media sosial adalah bagi menjaga privasi rumah tangga mereka.
Mengulas mengenai sambutan Aidilfitri, Fikry memaklumkan dia dan isteri menyambutnya secara berasingan atas faktor komitmen keluarga.
“Isteri beraya di Sarawak. Tahun ini giliran isteri cuma saya kena jaga ibu. Pakcik saya pun tak sihat.”
“Jadi saya mengizinkan isteri untuk balik ke Sarawak beraya bersama keluarga. Sebelum raya kami beli baju raya sekali jadi tak timbul isu masalah rumah tangga ini,” jelasnya.
Untuk rekod, sebelum ini Khalizah pernah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Mei tahun lalu, namun menarik semula permohonan tersebut sebulan kemudian dan mengakui ia dibuat secara terburu-buru.
Fikry dan Khalizah mendirikan rumah tangga pada 12 Februari lalu di sebuah masjid di Jitra, Kedah.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
