Bukan rahsia lagi, siri animasi popular Malaysia, Upin & Ipin, mempunyai pengaruh yang cukup besar di Indonesia.
Namun baru-baru ini, tular sebuah video yang mencetuskan perhatian apabila seorang individu mendakwa animasi ikonik itu sebenarnya berasal dari Indonesia sebelum kononnya dibeli oleh Malaysia.
Dakwaan tersebut nyata mengundang pelbagai reaksi, terutama dalam kalangan rakyat Malaysia yang melihat kenyataan itu sebagai tidak berasas dan bercanggah dengan sejarah sebenar penerbitan Upin & Ipin.
Menerusi video yang tular, individu berkenaan mendakwa pada tahun 2008, sekumpulan animator muda dari Jakarta dan Bandung pernah mencipta sebuah watak animasi bernama ‘Si Arifin’.
Menurut dakwaan itu lagi, karya berkenaan dikatakan ditolak oleh stesen televisyen Indonesia kerana ketika itu pihak penerbit lebih berminat menghasilkan rancangan yang menampilkan pelakon kanak-kanak sebenar seperti Si Madun, selain menganggap kos animasi terlalu tinggi.
Katanya, animasi tersebut hanya dijual semula ke Indonesia selepas pelakon kanak-kanak di negara itu semakin meningkat usia dan tidak lagi mendapat sambutan seperti dahulu.
Bagaimanapun, dakwaan bahawa Upin & Ipin berasal daripada ‘Si Arifin’ dilihat tidak mempunyai bukti kukuh dan lebih menyerupai mitos internet yang sering berlegar-legar di media sosial.
Malah, perkara itu mengingatkan ramai kepada khabar angin lama yang pernah tular kononnya watak Upin dan Ipin sudah meninggal dunia akibat kemalangan, sedangkan dakwaan tersebut juga tidak pernah disahkan.
Untuk rekod, Upin & Ipin merupakan karya animasi tempatan yang diterbitkan oleh Les’ Copaque Production dan dibangunkan oleh tenaga kerja Malaysia.

Justeru, dakwaan bahawa animasi tersebut dibeli daripada pihak lain tanpa asas yang jelas dilihat seolah-olah cuba menafikan usaha serta kreativiti anak tempatan yang membangunkan jenama tersebut dari awal.
Apa pun, rakyat Malaysia sememangnya menghargai sokongan besar penonton Indonesia terhadap Upin & Ipin selama ini.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
