Selepas melalui pelbagai kontroversi dan kemelut rumah tangga sebelum ini, pelakon Puteri Sarah Liyana kini dilihat menjalinkan hubungan yang lebih baik bersama bekas suaminya, pengarah Syamsul Yusof.
Puteri Sarah, 40, berkata mereka kini mencapai persefahaman terutama dalam soal membesarkan dua anak mereka, Syaikhul Islam dan Sumayyah.
“Saya tak mahu ulas lebih lanjut, kita ‘move on’ sahaja. Masing-masing sudah ada fokus sendiri. Apa yang sudah jadi, biarlah terjadi.”
Tambahnya lagi, hubungan baik itu terjalin kerana kedua-duanya mengamalkan konsep ‘co-parenting’ demi kebajikan anak-anak.
“Hubungan kami tetap baik kerana kami mengamalkan ‘co-parenting’. Tiada masalah dalam menguruskan anak. Kita tak nak ada masalah di kemudian hari.”
Malah, suasana Hari Raya baru-baru ini juga memperlihatkan hubungan yang semakin positif antara mereka.
“Hari Raya tempoh hari, dia turut beraya bersama anak. Pada hari raya kedua saya juga turut meraikan bersama keluarganya,” kongsinya kepada mStar.
Dalam masa sama, Puteri Sarah turut meluahkan rasa syukur apabila melihat hubungan bekas suaminya kembali baik dengan keluarga.
“Alhamdulillah, memang gembira melihat mereka kembali berbaik. Itu yang diharapkan semua pihak sejak awal,” ujarnya.
Ditanya mengenai soal jodoh, pelakon itu memilih untuk tidak terlalu memikirkan perkara tersebut buat masa ini, sebaliknya memberi fokus kepada kerjaya dan perniagaan.
“Jodoh, ajal dan maut semuanya ditentukan Allah. Doakan yang terbaik.”
“Tapi memandangkan perniagaan saya semakin membesar dan sudah mempunyai kilang sendiri, saya mahu fokus untuk mengembangkannya lagi,” luahnya.
Menurutnya, dia kini berada dalam fasa kehidupan yang lebih tenang dan tidak mahu lagi menoleh ke belakang.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
