Anak kepada komposer legenda Ahmad Nawab, iaitu Nasir Ahmad Nawab tampil menyangkal kenyataan penyanyi Uji Rashid yang didakwa melencong mengenai bapanya dalam sebuah audio siar baru-baru ini.
Menurut Nasir, 64, kenyataan tersebut bukan sahaja tidak berasas malah mengguris hati seluruh ahli keluarga arwah.

“Secara jujurnya, saya sebagai ahli keluarga, kami memang terasa dengan apa diperkatakan. Sepatutnya perkara seperti itu tidak berlaku kerana tidak benar.”
“Orang akan lebih hormat jika bercakap perkara betul. Saya sendiri tidak faham kenapa perlu mereka-reka cerita seperti itu,” katanya kepada Kosmo! Online.
Mengulas lanjut, Nasir menegaskan dakwaan berkenaan bukan sahaja mengelirukan, malah berpotensi mencetuskan persepsi negatif terhadap individu yang telah meninggal dunia.
“Memang tidak patut. Tindakan itu seolah-olah membuka aib orang telah meninggal dunia. Bukan sahaja bapa saya, malah nama beberapa artis lain seperti Allahyarham Sharifah Aini dan Broery Marantika turut disebut.”
“Bagaimana hendak perbetulkan keadaan sedangkan mereka sudah tiada untuk menjawab? Jadi janganlah bercakap perkara tidak benar,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan jasa besar Allahyarham Ahmad Nawab dalam industri muzik tidak wajar dipersoalkan atau diputarbelitkan.
“Ramai tahu arwah banyak membantu menaikkan nama penyanyi termasuk dirinya. Antara karya memberi impak besar ialah lagu Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu.”
“Memang ada kisah di sebalik lagu itu, tetapi apa diceritakan telah diputarbelitkan,” jelasnya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Buku Sentuhan Emas Lagu-Lagu Terbitan Allahyarham Tan Sri Dr Ahmad Nawab.
Terdahulu, Uji Rashid dalam satu temu bual audio siar berkongsi pengalaman bekerjasama dengan beberapa figura besar industri muzik, termasuk Ahmad Nawab, dan mendakwa komposer itu pernah menyifatkan dirinya tidak mengenang budi, sekali gus memberi gambaran hubungan mereka kurang baik.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
