Seorang lelaki berusia 31 tahun yang meninggal dunia akibat serangan jantung meninggalkan legasi penuh makna apabila organ utamanya didermakan bagi menyelamatkan nyawa insan lain.
Menerusi perkongsian di Facebook, Ahmad Nazrul memaklumkan jenazah Allahyarham Syukri Bazli telah menjalani proses pengambilan organ dan tisu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada pagi tadi.

Menurutnya, satu buah pinggang dihantar ke Hospital Selayang, manakala satu lagi ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Hati Allahyarham pula dibawa ke Hospital Tuanku Azizah, Kuala Lumpur untuk tujuan pemindahan organ.
Kesemua organ tersebut diterbangkan menggunakan helikopter bagi memastikan ia sampai segera kepada penerima yang sedang menunggu.
Difahamkan, hati Allahyarham akan memberi peluang hidup kepada seorang kanak-kanak, manakala dua buah pinggangnya pula bakal membantu dua pesakit diabetes yang kini bergantung kepada rawatan dialisis.

Selain itu, proses pengambilan turut melibatkan tisu lain seperti tulang dan kulit untuk kegunaan rawatan pesakit. Tulang akan digunakan dalam prosedur bone graft bagi mangsa kemalangan, pesakit kanser tulang serta masalah tulang belakang, manakala kulit pula membantu pesakit melecur teruk dan pembedahan rekonstruktif.
Tambah Ahmad Nazrul, semua organ dan tisu yang masih dalam keadaan baik telah didermakan dengan persetujuan penuh daripada keluarga Allahyarham.

Walaupun pergi pada usia muda, pemergian Allahyarham membawa sinar baharu kepada beberapa individu lain yang sedang berjuang untuk hidup.
Selepas proses pengambilan organ selesai, pihak hospital akan melakukan penggantian prostetik sementara bagi mengekalkan keadaan fizikal jenazah seperti asal.
Jenazah telah disolatkan selepas solat Isyak di Masjid Tok Dor, Ajil sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Peroh, Ajil.
Difahamkan, ayah Allahyarham yang juga seorang sukarelawan akan menguruskan sendiri proses mandi dan kafan jenazah di bilik pengurusan jenazah Masjid Ladang.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
