Penyanyi tersohor negara, Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza dilaporkan terlibat dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan empat buah kenderaan di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) sebentar tadi.
Menurut pengurusnya, Rozi Sangdewi, kejadian berlaku ketika Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 47, dalam perjalanan pulang selepas selesai mengadakan persembahan.

“Ramai yang menghubungi kami bertanya tentang Siti Nurhaliza. Kami dua kereta baru selesai mengadakan persembahan di RedQ AirAsia Sepang dan sewaktu melalui lebuh raya MEX (KM14.2), berlaku kemalangan.”
“Empat kereta terlibat termasuk kereta yang dinaiki Siti dan saya serta Fairuz berada berjarak beberapa kereta di belakang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Dalam pada itu, Rozi memaklumkan bahawa Siti telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut dan disahkan hanya mengalami kecederaan ringan.

“Kami membawa Siti keluar dari kereta yang kemalangan dan masuk ke dalam kereta kami. Siti telah ke hospital, mengalami lebam dan bengkak bahagian kaki.”
“Alhamdulillah, segalanya selamat dan terima kasih di atas doa semua,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
