Prosiding komital melibatkan dakwaan pelanggaran perintah mahkamah yang difailkan penyanyi Nubhan terhadap bekas isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek akan diteruskan pada 10 Ogos depan.
Menurut peguam syarie yang mewakili Nubhan, Mohd Redzuan Ramli, tarikh tersebut ditetapkan bagi membolehkan Dr. Fie selaku defendan memfailkan afidavit pembelaan berhubung dakwaan berkenaan.

“Hari ini merupakan prosiding kali pertama yang mana prosiding pelanggaran perintah yang difailkan oleh Encik Nubhan terhadap Dr. Fie.”
“Yang mana pelanggaran tersebut merupakan perintah yang sebelum ini dipersetujui dan terma perintah tersebut, terma yang sendiri dicadangkan oleh pihak Dr. Fie.”
“Walau bagaimanapun, perintah itu kita tak dapat dedahkan sebab ia akan jadi prejudislah. Tapi ada pelanggaran, tiga pelanggaran yang berlaku terhadap perintah tersebut,” katanya kepada Gempak.
Redzuan berkongsi perkara itu selepas selesai prosiding di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam pada Selasa.
“Saya Pun Tak Tahu Kenapa Dia Buat Macam Ni” – Nubhan Fail Komital Terhadap Dr Fie Tawfek
Tambah Redzuan, bekas bintang Akademi Fantasia itu juga bersedia mempertimbangkan untuk menarik balik kes sekiranya pihak defendan membuat permohonan maaf secara terbuka.
“Tindakan ini bukan atas kapasiti balas dendam. Kami sebenarnya mengambil masa yang cukup lama untuk mempertimbangkan sama ada perlu memfailkan tindakan ini atau tidak.”
“Namun, saya difahamkan oleh Nubhan, sekiranya ada permohonan maaf yang dibuat secara suci hati dan ikhlas daripada pihak sana, beliau sedia mempertimbangkan untuk menarik balik kes ini,” katanya lagi.
Terdahulu, Nubhan hadir ke perkarangan mahkamah berhubung prosiding komital mengenai dakwaan pelanggaran perintah mahkamah yang difailkan terhadap Dr. Fie.
Bagaimanapun, perincian lanjut mengenai bentuk pelanggaran perintah mahkamah tersebut masih belum didedahkan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
