Bapa kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Zaim Ikhwan Zahari memperoleh hak penjagaan terhadap anak keduanya tanpa syarat dan bon selepas Mahkamah Tinggi mengetepikan perintah Mahkamah Majistret sebelum ini.
Keputusan itu dibuat Hakim Suriyati Hasimah Mohd. Hashim selepas membenarkan rayuan yang dikemukakan Zaim Ikhwan, 31, berhubung perintah terdahulu bagi membolehkan kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu kembali ke pangkuan keluarga.

Menurut Suriyati, mahkamah telah meneliti hujahan lisan kedua-dua pihak serta semua dokumen yang difailkan sebelum membuat keputusan berkenaan.
“Jika pihak responden tidak berpuas hati, rayuan boleh dikemukakan kepada mahkamah ini yang akan menyediakan alasan penghakiman terhadap rayuan itu.”
Prosiding tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Aida Mat Rifin sebagai responden, manakala Zaim Ikhwan diwakili peguam Lavanesh Haresh Mahadevan.

Terdahulu, pada 2 Disember tahun lalu, Zaim Ikhwan memfailkan rayuan bagi membatalkan sebahagian keputusan Mahkamah Majistret yang sebelum ini memerintahkannya memenuhi 14 syarat berserta bon.
Selepas 18 bulan adik kepada Zayn Rayyan dijaga oleh nenek saudara termasuk pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mahkamah kini membenarkan kanak-kanak tersebut dipulangkan kepada bapanya. – KOSMO ONLINE
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
