Isu sebuah klip persembahan teater yang tular baru-baru ini telah mencetuskan perbincangan hangat di media sosial tempatan, khususnya selepas ia dikaitkan dengan pementasan di Universiti Malaya (UM). Video tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat, termasuk kebimbangan terhadap kandungan yang dipersembahkan.
Tidak mengambil ringan isu yang timbul, pihak pengurusan UM tampil memberikan penjelasan rasmi pada 16 April 2026. Menerusi kenyataan tersebut, universiti menegaskan komitmen mereka dalam memastikan setiap program yang dianjurkan mematuhi garis panduan ketat, selari dengan kedudukannya sebagai institusi pengajian tinggi terkemuka negara.
Dalam masa sama, UM turut memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku serta kegusaran yang tercetus dalam kalangan masyarakat. Pihak universiti menegaskan bahawa mereka tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran peraturan yang telah ditetapkan.
“Berdasarkan syarat-syarat umum dan peraturan pertandingan Karnival Teater (KARVITER) Universiti Malaya, setiap persembahan hendaklah bebas daripada unsur negatif, provokasi atau sebarang kandungan yang boleh menjejaskan nilai keagamaan, moral, etika, budaya serta nama baik Universiti,” jelas kenyataan media rasmi tersebut.
Menjawab persoalan bagaimana adegan kontroversi itu boleh terlepas daripada tapisan awal, pihak universiti menjelaskan bahawa ia berpunca daripada perubahan saat akhir yang tidak selari dengan skrip asal yang telah diluluskan.
“Hasil penelitian mendapati adegan yang dipertontonkan adalah tidak selaras dengan skrip asal yang telah melalui proses tapisan,” terang jurucakap universiti.
Dengan nada tegas, mereka menambah, “Ini jelas merupakan pelanggaran terhadap syarat pertandingan yang telah ditetapkan”.
Susulan pelanggaran tersebut, kumpulan teater berkenaan telah dikenakan tindakan apabila persembahan mereka diputuskan sebagai tidak layak untuk dinilai dalam pertandingan itu.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
