Penyanyi Azmi Saat berkongsi bagaimana golongan Orang Kurang Upaya penglihatan menggunakan telefon bimbit dalam kehidupan seharian.
Menerusi video di Instagram, Azmi atau nama lengkapnya Khairul Azmi Muhammad Saat, 39, berkata masih ramai yang belum tahu bagaimana individu cacat penglihatan membaca dan membalas mesej di telefon pintar.
Menurut vokalis kumpulan Caliph Buskers itu, fungsi aksesibiliti yang tersedia pada telefon pintar banyak membantu mereka menggunakan media sosial serta mengetahui setiap komen dan tanda suka yang diterima.
“Ramai tanya macam mana saya menaip. Ada juga yang tertanya-tanya saya boleh baca ke setiap komen. Ramai rupanya masih tak tahu.”
“Sebenarnya kami menggunakan aksesibiliti yang ada di telefon pintar. Masuk di settings, on kan voice over nanti setiap tulisan akan dibacakan. Apa saja yang korang tulis, komen, berapa yang like semua saya boleh tahu.”
Dalam masa sama, Azmi turut mendedahkan aplikasi Threads kurang mesra pengguna buat OKU penglihatan kerana terdapat beberapa fungsi yang sukar diakses menggunakan voice over.
“Punyalah dahsyat Threads tak mesra orang buta bila saya nak balas komen orang, sampai tak jumpa butang untuk post komen.”
“Voice over tak boleh baca butangnya, jadi saya lebih aktif di Facebook berbanding media sosial lain.”
Di akhir perkongsian, Azmi berharap video tersebut dapat memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kehidupan golongan OKU penglihatan serta teknologi yang digunakan mereka setiap hari.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
