Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berada dalam keadaan sihat ketika ini, namun masih melalui fasa kesedihan selepas kehilangan isteri tercinta, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Perkara itu dikongsikan anak perempuan mereka, Datuk Marina Mahathir ketika ditemui selepas menziarahi pusara Allahyarham Tun Siti Hasmah di Pusara Negara, Presint 20.

Menurut Marina, bapanya kini berasa sunyi selepas kehilangan pasangan hidup yang sudah bersamanya selama kira-kira 70 tahun.
“Memang ayah sedih. Ini ‘partner’ (pasangan) dia selama 70 tahun. Dia cuma rasa kesunyian. Jadi, kami semua cuba menemani dia sebanyak yang boleh, siang dan malam.”
Marina berkata, ahli keluarga termasuk adik-beradik dan anak-anak kini bergilir-gilir menemani Tun Mahathir bagi memastikan beliau tidak terlalu lama bersendirian.
“Dia rasa sangat keseorangan sekarang. Macam mana tidak sedih, ini pasangan dia selama 70 tahun.”
Dalam masa sama, Marina memberitahu kehilangan Tun Siti Hasmah bukan sahaja dirasai Tun Mahathir, malah seluruh ahli keluarga yang sudah terbiasa dengan kehadiran Allahyarham di rumah.
“Kami semua pun rasa rindu. Kami dah biasa selalu melihat ibu di rumah, tetapi sekarang susah nak percaya yang dia sudah tiada.”
Bagaimanapun, Marina memaklumkan keadaan kesihatan Tun Mahathir ketika ini adalah baik.
Tun Siti Hasmah sebelum ini selamat dikebumikan dengan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara di Pusara Negara, Presint 20.
Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara dikebumikan berhampiran pusara Allahyarham Tun Endon Mahmood.
Istiadat pengebumian itu turut melibatkan pegawai daripada Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia. – KOSMO ONLINE
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
