Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dilaporkan sempat memberitahu anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bahawa beliau sudah bersedia untuk meninggalkan keluarga mereka, sehari sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Mukhriz berkata, beliau sempat meluangkan masa bersama ibunya pada malam sebelum Allahyarham meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Menurutnya, meskipun berada di IJN kerana masalah kesihatan, Allahyarham ketika itu masih berada dalam keadaan ceria.
“Waktu itu dia sudah pun berada di IJN atas sakit yang lain sebenarnya tetapi moodnya sangat ceria walaupun begitu dia ada beritahu saya yang dia dah bersedia untuk meninggalkan kita semua.
“Jadi nampaknya dia dah bertawakal,” katanya ketika ditemui selepas istiadat pengebumian Tun Dr Hasmah di Tanah Perkuburan Islam, Presint 20, pada Isnin.
Mukhriz berkata, pada pagi Isnin beliau menerima makluman daripada pihak hospital bahawa ibunya mengalami masalah jantung sebelum bergegas ke IJN.
Ketika itu, pasukan pakar sedang menjalankan prosedur resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebelum Allahyarham dipindahkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU).
“Pada jam 9 pagi kami dimaklumkan bahawa CPR yang telah dijalankan itu hanya akan dibuat selama 15 minit lagi dan kalau jantung tak terus berfungsi maka tindakan CPR itu akan dihentikan,” katanya.
Menurut Mukhriz, ahli keluarga ketika itu sudah memahami maksud penjelasan yang diberikan oleh doktor sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.
Dalam pada itu, Mukhriz turut berkongsi satu momen menyentuh hati apabila ibunya masih memikirkan mengenai masa depan rakyat dan negara sehingga ke saat-saat akhirnya.
Bekas Menteri Besar Kedah itu turut menyifatkan dirinya sebagai seorang anak yang sangat bertuah kerana masih mempunyai ibu dan bapa sehingga usianya 62 tahun.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
